1.6 juta penjawat awam terima kenaikan gaji, elaun Julai ini

 |Apr 4, 2018

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji dan elaun kepada berkuatkuasa 1 Julai ini.

Menurutnya, pemberian itu sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada peranan, tugasan dan tanggungjawab penjawat awam dalam pembangunan ekonomi dan sosio negara.

Beliau turut mengumumkan beberapa pemberian insentif seperti kenaikan pangkat kepada kumpulan pelaksana dan guru, di samping penambahan imbuhan sebanyak satu peratus lagi kepada kira-kira 800,000 pesara.

“Sepanjang sembilan tahun saya sebagai Perdana Menteri, saya sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan penjawat awam dalam pentadbiran saya.

“Bagi saya penjawat awam adalah setia kerajaan dan saya akan sentiasa membalas jasa mereka. Saya akan lakukan sehabis baik (sebaik mungkin),” katanya berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-16 di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid dan kira-kira 10,000 penjawat awam dari seluruh negara.

Beliau turut mengumumkan untuk mewujudkan Lapisan Gred 56 bagi Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan.

“Kerajaan bersetuju untuk mewujudkan satu gred lapisan kenaikan pangkat baharu iaitu Gred DG56 kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, yang telah berada lebih daripada 5 tahun di Gred 54, dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang.

“Pewujudan lapisan Gred DG56 ini akan memberi peluang kenaikan pangkat kepada 323 pegawai, dengan implikasi kewangan sebanyak 7.4 juta ringgit mulai 1 Januari 2019,” katanya.