Tersingkir MasterChef UK kerana ayam rendang tidak ranggup

 |Apr 3, 2018

KUALA LUMPUR: Gara-gara menyediakan masakan rendang ayam yang dianggap tidak ranggup, seorang peserta MasterChef UK 2018 disingkirkan daripada pertandingan masakan paling popular tersebut.

Penyingkiran Zaleha mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengutuk dan
kecewa dengan kenyataan komen juri Masterchef UK, John Torode dan Gregg Wallace.

Mereka berdua dikatakan tidak berpuas hati dengan hidangan ayam rendang tersebut
kerana tidak cukup rangup.

John kemudian memberitahu Zaleha bahawa keputusannya untuk memilih Nasi Lemak Ayam Rendang sebagai hidangan yang bakal dipersembahkan adalah kesilapan yang besar.

Zaleha, 48 yang berasal dari Kuantan, Pahang memilih hidangan tersebut kerana
hidangan itu merupakan makanan kegemarannya semasa kecil.

Bekas akauntan Petronas itu berjaya memasuki pusingan kalah mati peringkat suku akhir
MasterChef UK, dimana para peserta dicabar untuk memasak hidangan yang penting kepada dirinya sendiri.

Chef John terus mengkritik bahawa rendang ayam Zaliha harus betul-betul lembut dan
hancur.

Zaleha kemudiannya disingkirkan daripada pusingan itu selepas keputusan yang dibuat
oleh John Torode dan Gregg Wallace.

Susulan itu, akaun YouTube MasterChef diserbu ramai netizen dari Malaysia yang
meninggalkan komen dan berpendapat penyingkiran Zaleha itu tidak adil.

Insiden ini turut mendapat perhatian cef selebriti terkenal Malaysia, Chef Wan yang
menganggap komen juri Masterchef UK itu mengarut sekaligus menunjukkan kedua-dua cef itu memang tiada pengetahuan mengenai masakan Melayu.

“Apa sampah yang dia cakap itu? Ini bukan ‘duck ala orange’ atau confit d canard
seperti mana orang Perancis memasak itik.

“Nampak sangat dia tidak tahu apa yang dia katakan. Kita memasak rendang cara
Malaysia,” tulisnya menerusi perkongsian di Instagram.

Sementera itu, Zaleha menerusi laman Instagramnya mengaku terkilan dan kecewa kerana
tersingkir namun dia tetap yakin dan mempertahankan caranya memasak nasi lemak.

“Saya tetap berdiri dengan cara tradisional saya memasak nasi lemak. Tidak akan
mengubahnya untuk dunia.

“Dengan bangga dapat berkhidmat dan akan terus memasak dengan cara keluarga saya dan tidak akan mengubah kegemaran tradisional negara,” tulisnya.

Zaleha yang mengusahakan restoran Malaysian Kitchen di Bristol ini menetap di
Bristol, UK bersama suami dan dua anak perempuan mereka.