PRU14: Manifesto BN bukan untuk bersaing – Reezal Merican

 |Apr 3, 2018

KEPALA BATAS: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu ini bukan untuk bersaing sebaliknya memberi tumpuan kepada kesejahteraan kehidupan rakyat.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata manifesto BN adalah janji yang pasti ditunaikan dan berdasarkan rekod BN selama 60 tahun memerintah negara, parti itu menunaikan setiap janji yang dibuat.

“Kita bukan macam Pakatan Harapan. Mereka hasilkan manifesto hanya untuk meniru apa yang BN telah lakukan. Kita bukan nak bersaing. Kita bukan nak jadikan kehidupan rakyat sebagai satu bahan didagangkan.

“Tumpuan kami ialah membawa kesejahteraan kepada kehidupan rakyat. Itu tujuan manifesto,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan [email protected] (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) peringkat negeri di sini, hari ini.

Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar berkata kelopongan yang ada di setiap peringkat termasuk golongan muda, B40, warga emas, nelayan dan sebagainya akan dikenal pasti seterusnya dimasukkan dalam manifesto BN untuk dilaksanakan.

Terdahulu, seramai 63 usahawan muda menerima pakej bantuan mobilepreneur yang meliputi motosikal serta kotak peralatan kemahiran dan kursus asas keusahawanan.

Seorang penyelenggara penghawa dingin, Abdul Hafiz Abdul Harith, 24, berkata bantuan motosikal itu akan memudahkan lagi pergerakannya yang meliputi kawasan Nibong Tebal, Seberang Jaya, Bukit Mertajam dan bahagian pulau.

“Selepas ini saya tak sangkut dalam kesesakan lalu lintas lagi. Motosikal ini saya boleh bawa barangan yang kecil seperti peralatan untuk membaiki penghawa dingin. Terima kasih kepada kerajaan yang memberi bantuan seumpama ini kepada usahawan muda seperti kami,” katanya yang sudah lima tahun mengusahakan perniagaan itu.

Sementara itu, terapi kecantikan, Nur Fatin Mohd Assri, 21, berkata selepas ini beliau tidak perlu lagi meminta bantuan kakaknya untuk menghantarnya ke rumah pelanggan yang membuat tempahan spa dan terapi kecantikan.

Beliau yang menjalankan perniagaan itu secara sambilan berkata pihaknya menawarkan perkhidmatan spa bergerak dan motosikal itu sangat diperlukan untuk memudahkan pergerakan dari rumah ke rumah di sekitar Bayan Lepas, Bayan Baru dan Gelugor.- Bernama