Hasrat pembangkang mahu hentikan projek ECRL tindakan mengarut

 |Apr 3, 2018

TEMERLOH: Hasrat pembangkang yang mahu membatalkan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika parti itu menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh menyebabkan pembangunan ekonomi di negara ini khususnya di Pantai Timur akan terbantut.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata kerajaan sudah lama merancang untuk melaksanakan projek bernilai RM55 billion itu untuk memastikan pertumbunan ekonomi di wilayah berkenaan juga mampu bersaing dengan kawasan Pantai Barat.

“Saya terkejut dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jika pembangkang menang mereka akan menghentikan pembinaan ECRL sedangkan pembinaannya sebenarnya telah lama dirancang, tetapi hanya menjadi realiti setelah Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri.

“Pada kita di Pantai Timur, projek ini satu rahmat kerana memendekkan jangka waktu perjalanan dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur dengan masa perjalanan hanya empat jam dan bukannya 14 jam seperti didakwa.

“Kita juga harus ingat landasan kereta api ini bukan hanya untuk mengangkut penumpang tetapi juga kargo atau barangan dari Pantai Timur ke Pantai Barat, sebab itu perdana menteri melaksanakan projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Temerloh yang disempurnakan Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di Mentakab di sini.

Semalam, Pakatan Harapan dilaporkan akan menghentikan projek ECRL sekiranya menang dalam PRU-14.

Dr Mahathir berkata projek ECRL yang membabitkan pembinaan laluan rel sejauh 688 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan itu merupakan satu pembaziran dan tiada keperluan untuk membinanya.

Sehubungan itu, Mohd Sharkar berharap semua jentera BN khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang perlu mempertahankan pembinaan ECRL jika mahu pembangunan ekonomi yang seimbang antara Pantai Barat dan Pantai Timur.– Bernama