DAP label Pas parti yang bersekongkol dengan kerajaan

 |Apr 3, 2018

KUALA LUMPUR: DAP melabelkan PAS sebagai parti yang bersekongkol dengan kerajaan kerana menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan di Dewan Rakyat, semalam.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika memberi label itu melahirkan rasa terkejut dengan keputusan PAS menyokong kerajaan dalam meluluskan rang undang-undang itu.

“Saya rasa terkejut mengapa bila dia (PAS) belum jadi parti memerintah, dia cakap macam parti yang memerintah,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

RUU yang bertujuan mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan itu diluluskan menerusi suara majoriti di peringkat jawatankuasa dengan pindaan.

Ia diluluskan menerusi undi belah bahagi di peringkat dasar dengan 123 undi menyokong berbanding 64 yang menentang.

Anggota Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya semalam menyatakan PAS menyokong RUU Antiberita Tidak Benar 2018 dengan 10 sebab antaranya RUU tersebut merupakan asas agama, iaitu kepalsuan dan penipuan adalah fitnah yang menghancurkan masyarakat dan negara.

Selain itu, katanya, ia diharap mampu menyekat mereka yang menjadikan penyebaran berita tidak benar sebagai hobi kehidupan.- Bernama