Kuatnya paradoks politik Tun Mahathir kata Salleh

 |Apr 2, 2018

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mempersoalkan arah tuju Malaysia yang ingin dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad dengan sikap politik beliau yang paradoks.

Jelasnya, bekas perdana menteri itu yang dahulunya bersikap autokratik dan percaya kepada ‘strong government’ untuk melindungi kedudukan orang Melayu, kini telah bersekongkol dengan Dap yang dimusuhinya selama ini.

“Dengan sikap politiknya yang paradoks ini, ke manakah sebenarnya Tun Mahathir mahu membawa Malaysia ini? Jika ke arah negara demokratik, apakah tidak demokratik lagi sikap politik DS Najib yang menghapuskan ISA dan meminda AUKU? Jika untuk mewujudkan bangsa Malaysia, apakah tidak lengkap lagi pemerintahan DS Najib yang bersifat inklusif, merakyat dan menghargai kepelbagaian?

“Jika untuk menentang ketirisan dan kelemahan tadbir urus kerajaan BN, tidak ingatkah Tun Mahathir bahawa yang tiris sebenarnya ialah skandal BMF RM2.5 billion dan skandal forex RM30 bilion yang terjadi di zaman pemerintahannya?

“Inilah ironisnya politik Tun Mahathir ini, iaitu beliau menciptakan paradoksnya sendiri,” tulisnya menerusi catatan terbaharu blog beliau sskeruak.blogspot, malam tadi.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata demikian sebagai mengulas video pendek berdurasi tiga minit 33 saat bertajuk ‘Pada Sesuatu Ketika’ yang tular sejak kelmarin.

Beliau turut berkongsi pandangan pemerhati politik yang memberikan tiga sebab punca perubahan sikap pengerusi Pakatan Harapan itu.

“Pemerhati politik telah memberikan tiga sebab. Pertama, Tun mempunyai ‘superiority complex’, suatu sikap yang tidak boleh menerima kelebihan orang lain.

“Kedua, Tun kecewa dengan sikap barisan pemimpin tinggi UMNO yang tidak menyokong anaknya untuk menang dalam pemilihan Naib Presiden. Ketiga, beliau tidak berpuas hati dengan beberapa polisi DS Najib yang dilihatnya cuba menghapuskan legasinya.

“Jika beginilah alasan Tun Mahathir untuk menentang DS Najib dan keluar dari parti yang diketuainya selama 22 tahun, pertanyaannya ke manakah Tun Mahathir mahu membawa politik Malaysia ini? Kuatnya paradoks politik Tun,” katanya.