Antiberita tidak benar: Tidak wujud ‘pendakwaan berpilih’

 |Apr 2, 2018
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said
menegaskan kesalahan-kesalahan di bawah Rang Undang-úndang Antiberita Tidak Benar
2018 ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah dan bukannya kerajaan.

Beliau berkata tidak wujud soal ‘pendakwaan berpilih’kerana keputusan terhadap setiap
kesalahan di bawah undang-undang itu bergantung atas keterangan berdasarkan siasatan
lengkap, dan seseorang individu hanya akan didapati bersalah apabila mahkamah
menentukannya.

“Ini bukan undang-undang yang pemerintah, kerajaan atau menteri membuat keputusan.

“Undang-undang ini diwujudkan supaya mana-mana pihak yang merasakan menjadi mangsa dalam kesalahan berita palsu, boleh pergi ke mahkamah memohon perintah sementara supaya mahkamah boleh keluarkan perintah berita itu diturunkan,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Di bawah RUU ini, akta yang dicadangkan adalah untuk melindungi orang awam daripada
penyebaran berita tidak benar dan pada masa sama memastikan hak kebebasan bercakap
dan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati.

RUU itu diluluskan dengan pindaan menerusi proses undi belah bahagi apabila G Manivannan (DAP-Kapar) meminta usul undi belah bahagi dilakukan.

Keputusan undian itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan 123 Ahli Parlimen menyokong manakala 64 lagi tidak menyokong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut berada dalam dewan ketika proses undi belah bahagi dijalankan.

Azalina mengambil masa lebih dua jam untuk menggulung perbahasan itu yang berlangsung pada Khamis lalu dan disambung hari ini. Seramai 48 Ahli Parlimen mengambil bahagian membahaskan usul berkenaan.

Pindaan itu adalah menggantikan perkataan ‘mengetahui’ pada Fasal 4 kepada ‘dengan berniat jahat’ dan pengurangan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada enam tahun pada Fasal 5.’

Mengulas lanjut, Azalina menarik perhatian bahawa tidak timbul soal akta itu sebuah
akta drakonian atau kejam kerana ia berbeza dengan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri yang dimansuhkan pada 15 Sept 2011.

Dalam pada itu, Azalina juga menyangkal dakwaan anggota pembangkang sewaktu
perbahasan bahawa RUU itu diperkenalkan kerajaan secara tergesa-gesa.

“Jika bukan sekarang, bila lagi? Apabila proses penggubalannya, pentadbiran dan
penguatkuasaannya boleh diakses, adil dan efisien, maka ia dilaksanakan tepat pada
masanya.

“Isu penyebaran berita tidak benar adalah masalah global yang perlu ditangani dengan
segera seiring perkembangan teknologi komunikasi yang semakin pantas dan kompleks,”
katanya.

Selain itu, katanya, walaupun ada peruntukan dalam RUU terbabit telah sedia ada di
bawah akta lain, namun RUU ini lebih bersifat eksklusif, khas diwujudkan bagi
menangani masalah berita tidak benar.

Azalina menjelaskan bahawa akta sedia ada bagi mengekang penyebaran berita tidak
benar antara lain Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta
Komunikasi dan Multimedia masih tidak dapat mengawal isu ini dengan efektif dan
pantas, tambahan dengan kesalahan yang kompleks seiring peredaran teknologi.

“Saya menyatakan bahawa undang-undang ini diwujudkan tidak bererti undang-undang yang ada peruntukan tentang berita palsu tak boleh dipakai, tetapi boleh pakai, dalam
bentuk komplimentari,” katanya.