Ekonomi negara akan terus berkembang pada tahap membanggakan- Najib

 |Mar 29, 2018

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, beliau gembira dengan prestasi kukuh ekonomi Malaysia dan akan terus berkembang pada tahap membanggakan.

Menerusi perkongsian beliau di laman Twitter berkata, ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada tahap yang membanggakan berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada 2018 kepada antara 5.5 dan 6.0 peratus.

“@BNM_official menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi kita bagi 2018 kepada 5.5-6.0 peratus daripada 5.0-5.5, dan kadar inflasi keseluruhan dijangka pada purata antara 2.0 dan 3.0 peratus berbanding 3.0-3.5. insya-Allah, ekonomi kita akan terus berkembang pada tahap membanggakan,” kongsinya di laman Twitter Mohd Najib Tun Razak

Pada 2017, ekonomi Malaysia berkembang pada 5.9 peratus.

Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata ​​​​berdasarkan prestasi kukuh yang berterusan, ekonomi Malaysia berpotensi untuk mencatat pertumbuhan melebihi enam peratus pada tahun ini.

“Pertumbuhan penggunaan swasta dijangka terus mampan, disokong oleh pertumbuhan dalam pekerjaan dan pendapatan yang berterusan, inflasi yang lebih rendah dan sentimen yang lebih baik,” katanya​​​​​​​ kepada editor kanan semasa taklimat sempena pengumuman Laporan Tahunan 2017 serta Laporan​​​​​​​ Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 bank pusat itu semalam.

Pertumbuhan pendapatan akan disokong oleh prestasi eksport yang kukuh dan pelbagai langkah oleh kerajaan yang berterusan, seperti pemindahan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia, pengurangan cukai pendapatan individu dan pembayaran khas kepada semua penjawat awam dan pesara.

Muhammad berkata, sementara itu, pertumbuhan pelaburan swasta juga akan dikekalkan, disokong oleh perbelanjaan modal yang berterusan dan baharu dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan, selain diperkukuhkan oleh sentimen perniagaan positif yang berlanjutan.