Isu Stadium Shah Alam: Exco Selangor emosi jawab soalan

 |Mar 27, 2018

SHAH ALAM: Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan Amirudin Shari dilihat beremosi ketika menjawab soalan ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang meminta penjelasan apakah penyelesaian agar pasukan bola sepak Selangor dapat bermain semula di Stadium Shah Alam pada pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Beliau melontarkan perkataan ‘Go To Hell’ yang mengambarkan keengganan melayan ‘drama’ Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) yang tidak mahu berunding bagi menyelesaikan isu penggunaan Stadium Shah Alam walaupun pintu rundingan sudah dibuka seluasnya.

Jelasnya, berdasarkan surat terbaru diterima daripada Setiausaha Agung FAS, mereka menyatakan keengganan bertemu beliau tetapi memberi alasan mahu bertemu dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya sudah jelaskan senarai panjang sikap mereka terhadap Sultan Selangor Cup, mereka gagal menghantar pasukan walaupun diberikan pelepasan. Mereka gagal memberikan maklum balas kepada Kerajaan Negeri.

“Akhirnya, bila kita buka pintu rundingan, surat terbaru yang saya terima daripada Setiausaha Agung FAS, tak nak berjumpa dengan saya.

“Jadi isunya adalah mereka menggunakan isu ini sebagai modal politik, serang Kerajaan Negeri dan jadikan agenda memburukkan Kerajaan Negeri.

“Kita ada pelan sendiri untuk membangunkan bola sepak,” katanya

Beliau berkata, Stadium Shah Alam tidak berhadapan masalah pendapatan walaupun tidak digunakan Red Giants kerana mempunyai dua sektor pendapatan utama.

Menerusi sewa tapak kereta, sebanyak RM971,000 berjaya dikutip bagi tahun 2015, RM1.4 juta untuk 2016 dan RM1.093 juta pada 2017.

Bagi pendapatan menerusi sewa stadium, tahun 2015 mencatatkan pendapatan berjumlah RM2.08 juta, RM2.42 juta pada 2016 dan RM1.9 juta bagi 2017.

“Dari segi fakta saya tunjukkan, pada 2017 kita tidak memberikan peluang kepada Red Giants, kutipannya jauh lebih besar hampir RM2.7 juta berbanding 2016 pada RM2.4 juta.

“Namun masih ada baki RM700,000 yang belum dikutip daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sewaan daripada Sukan SEA (Kuala Lumpur 2017) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencatakan jumlah RM2.7 juta bagi tahun 2017,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Darul Ehsan Facilities Management Sdn Berhad (DEFM) dibuat berdasarkan daripada permohonan mereka kerana pengalaman menguruskan Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor dengan kejayaan penjimatan kewangan berjumlah RM4 juta.