PRU14: PMO nafi Najib umum calon BN pada 2 April

 |Mar 23, 2018

KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan media tempatan mengenai
Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat pengumuman calon Barisan Nasional bagi
Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2 April ini.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook dan Twitter menjelaskan
perkara tersebut hanya merupakan satu spekulasi pihak media.

“Pejabat Perdana Menteri ingin menjelaskan laporan akhbar hari ini bahawa pengumuman
calon Pilihan Raya Umum ke-14 akan dibuat oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd
Najib Tun Abdul Razak pada 2 April hanya merupakan satu spekulasi pihak media,” kata
kenyataan itu.

Kenyataan tersebut mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang memetik sumber
sebagai berkata, Najib yang juga Pengerusi BN akan mengumumkan senarai calon
tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) lima hari sebelum pelancaran Manifesto
BN pada 7 April di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Ahad lalu, Najib dipetik sebagai berkata, BN akan memecah tradisi dengan menamakan lebih awal calon pilihan raya.

Katanya, senarai nama calon BN akan diumumkan lebih awal berbanding sebelum ini dibuat dalam tempoh 48 jam sebelum hari penamaan calon bagi membolehkan parti menangani sebarang masalah berbangkit di mana-mana kawasan.