Profil hutang Malaysia mampu kurangkan kejutan tukaran asing, kadar faedah

 |Mar 22, 2018

KUALA LUMPUR: Profil hutang Malaysia dengan sebahagian besarnya dibiayai oleh ringgit, mampu bertindak sebagai faktor pengurangan sekiranya berdepan kejutan kadar faedah atau pun tukaran asing.

Malah, Naib Presiden dan Penganalisis Kumpulan Risiko Negara Moody’s Investors Service (Moody’s), Anushka Shah berkata profil hutang itu turut diambil kira bagi penarafan negara ‘A3’ yang dinikmati Malaysia.

“Penarafan itu berdasarkan aspek seperti pertumbuhan kukuh, stuktur ekonomi yang besar dan pelbagai serta sumber semula jadi yang mencukupi.

“Malaysia juga adalah antara negara dengan penarafan ‘A-‘ yang berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Meja Bulat Media Moody’s: Mendalami ASEAN – Tumpuan Terhadap Malaysia, di sini.

Bagaimanapun, Anushka berkata wujud kebimbangan bahawa paras hutang kerajaan Malaysia terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini kira-kira 51 peratus, adalah lebih tinggi daripada paras median 41 peratus negara lain dalam kelompok penarafan ‘A-‘ berkenaan.

“Kebimbangan lain termasuk penurunan kadar pertumbuhan golongan penduduk usia bekerja serta risiko penyusutan global lain seperti dasar perlindungan,” katanya.

Anushka berkata, rizab tukaran asing Malaysia yang besar juga boleh mengurangkan ketidaktentuan di peringkat luaran.

“Kerajaan (Malaysia) juga terus mempertahankan pendirian membabitkan langkah pengurangan defisit fiskal negara serta komited terhadap agenda dasar pembaharuan,” katanya.

Mengulas kesan 1Malaysia Develompent Berhad (1MDB) terhadap penarafan negara ini, beliau berkata impak hutang syarikat pelaburan strategik kerajaan itu adalah rendah dan dilihat tidak memberi risiko terhadap kedudukan fiskal Malaysia.

Sementara itu, mengulas komitmen Petroleum Sarawak Bhd (Petros) untuk memulakan usaha eksplorasi minyak dan gas (O&G) tahun ini, Naib Presiden dan Pegawai Kanan Kredit bagi Kewangan Korporat Moody’s, Vikas Halan berkata adalah terlalu awal untuk menilai impaknya.

“Kami tidak pasti bagaimana kesannya dan berpendapat Petronas tidak banyak terkesan daripadanya.

“Agak terlalu awal untuk menyatakan dengan terperinci. Asas pandangan kami adalah kerana ia tidak membabitkan sebarang perubahan status undang-undang Petronas sebagai pihak eksklusif yang meneroka dan pemilik sumber (minyak),” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata, Petros akan memulakan operasi aktiviti eksplorasi di Miri pada tahun ini selepas kerajaan negeri mengambil alih kawal selia sepenuhnya bagi kegiatan hiliran dan huluan O&G.

Vikas bagaimanapun berpendapat adalah lebih baik jika industri itu bersifat terbuka.

“Bagi kami, biarlah tunggu dan lihat (impak berkenaan). Semua eksplorasi pada masa depan adalah di bawah syarikat ini (Petros) namun apa yang dihasilkan oleh Petronas juga tidak akan lenyap,” katanya.– Bernama