Terima kasih AirAsia, anda telah rosakkan basikal saya kata Fen Lim

 |Mar 22, 2018

KUALA LUMPUR: Pesanan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes kepada pekerjanya untuk tidak membaling beg bagasi nampaknya tidak ‘dihadam’ dengan baik selepas satu video tular di media sosial memaparkan seorang pekerja kargo mencampak beg basikal milik penumpang baru-baru ini.

Menerusi sebuah video yang dikongsikan pemilik akaun Facecook Fen Lim memaparkan pekerja kargo gagal menjalankan kerjanya dengan baik selepas mencampakkan beg basikalnya.

Menurut Fen Lim, video tersebut dirakam ketika dia berada di dalam pesawat milik AirAsia AK171 dari Kaohsiung, Taiwan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

“Terima kasih Air Asia. Anda telah rosakkan basikal saya, ” tulisnya.

Fen Lim turut memuat naik gambar keadaan basikalnya yang rosak akibat sikap tidak bertanggungjawab pekerja kargo tersebut.

Rakaman video insiden tersebut mendalat lebih 9 ribu tontonan dan dikecam teruk netizen yang marah dengan sikap pekerja AirAsia yang ditugaskan menguruskan beg penumpang.

Tony Fernandes yang sedar akan kejadian tersebut menegaskan kesal dengan insiden berkenaan yang dikongsikan menerusi akaun Facebooknya.

“Selepas perjumpaan dengan pekerja, saya kesal dengan perkara ini.

“Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat akan menguruskan perkara ini dan memastikan keadaan akan kembali baik kerana dia juga seorang yang gemar aktiviti berbasikal, ” katanya.

Menurutnya, AirAsia mempunyai kerjasama dengan Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) iaitu anak syarikat milik penuh AirAsia Bhd tetapi kita mengambil tanggungjawab sepenuhnya.

Fen Lim turut mengucapkan terima kasih kepada Tonu Fernandes kerana sedar akan insiden tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya.