Annuar ingatkan pembangkang jangan pandang rendah kebijaksanaan rakyat

 |Mar 20, 2018

SEREMBAN: Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa mengingatkan pembangkang agar tidak memandang rendah kebijaksanaan rakyat, terutamanya apabila Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung dalam masa terdekat.

Beliau berkata rakyat bijak menilai apa yang UMNO, sebagai parti yang memerintah negara, telah lakukan untuk mereka.

“Kami dah lali. Tiap-tiap kali pilihan raya, kami tidak pernah lalui dengan jalan mudah.

“Sebagai kerajaan, kami berdepan dengan fitnah setiap masa. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun orang tuduh dia, beliau telah buktikan kejayaannya,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis Pemimpin Bersama Rakyat Menangani Fitnah Pembangkang Menjelang PRU14, di Ampangan, dekat sini malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Penerangan BN Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Chong Sin Woon dan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Abu Ubaidah Redza.

Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata walaupun ramai yang berkata Malaysia akan bankrap, tetapi ekonomi negara di bawah Najib berkembang baik dan ini terbukti dengan pengiktirafan badan-badan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad), Fitch Rating hanya pada tahap B tetapi zaman Najib Fitch Rating kita dapat A-.

“Masa zaman Mahathir rizab dalam negara hanya RM90 bilion, masa zaman Najib kita ada RM430 bilion rizab dan semasa zaman Mahathir ekonomi tumbuh pada kadar dua peratus tetapi pada zaman Najib ekonomi tumbuh pada kadar 5.6 peratus,” katanya.

Annuar berkata pembangkang sudah ketandusan isu untuk menyerang Najib dan kerajaan, mereka merasa kecewa kerana Najib lebih bijak daripada mereka dan tidak menari mengikut rentak bekas perdana menteri itu.

“Mahathir hentam-hentam Najib tetapi Najib tetap fokus, menguruskan ekonomi, baiki hubungan luar, pastikan ekonomi terus berkembang, rizab bertambah, mata wang kita kukuh dan memberi banyak bantuan yang pelbagai kepada rakyat.

“Sebab rakyat menilai semua tu. Kisah kejayaan ini akan tenggelamkan mereka selamanya,” katanya.– Bernama