Siti Nurhaliza selamat lahirkan anak sulung

 |Mar 19, 2018
Foto: Kredit Siti Nurhaliza Instagram

KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu negara, pagi tadi.

Perkara tersebut dikongsi menerusi akaun Instagram penyanyi berusia 39 tahun itu hari ini.

Menerusi satu kenyataan pengurus yang juga kakak iparnya, Rozi Abdul Razak berkata, Siti Nurhaliza selamat melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram secara pembedahan pada 8.17 pagi tadi.

“Siti dan bayi berada dalam keadaan baik dan buat masa ini hanya membenarkan kaum keluarga terdekat saja untuk melawat.

“Buat masa ini Siti mahu diberi ruang untuk berehat dan menumpukan perhatian pada hari-hari awal bergelar ibu,” tulisnya.

Suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa berkata, dia bersyukur kerana urusan bersalin Siti dipermudahkan Allah SWT.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana segalanya selamat. Apa yang penting proses melahirkan berjalan dengan baik, isteri dan anak juga sihat,”katanya.

Rozi berkata, pasangan tersebut memilih hari Isnin untuk kelahiran anak pertama mereka kerana bersamaan dengan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW selain jatuh pada tarikh 1 Rejab.

“Siti dan suami juga ingin mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, peminat dan juga pihak media sejak dari awal kehamilan sehinggalah melahirkan,” katanya.

Mengenai wajah dan nama anak, Siti dan suami meminta diberi sedikit masa sebelum mengumumkannya.

Siti Nurhaliza memilih teknik perubatan IVF atau proses persenyawaan benih di luar rahim untuk mendapatkan zuriat pertama.

Pasangan romantis itu melangsungkan penikahan pada 21 Ogos 2006 dan Siti Nurhaliza pernah mengalami keguguran pada 2015.