Lancar tudung di kelab malam: Neelofa tak kisah dikecam

 |Feb 27, 2018
Foto: Rojak Daily

KUALA LUMPUR : Usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa, 29, sekali lagi dilanda kontroversi selepas melancarkan koleksi tudung terbarunya iaitu BeLofa di sebuah kelab hiburan terkenal di ibu negara.

Tindakan Neelofa itu menerima kecaman hebat daripada netizen kerana menganggap tempat pelancaran koleksi tersebut tidak sesuai dengan imejnya yang bertudung.

Turut menambahkan lagi kecaman netizen apabila sebuah video memaparkan beberapa orang wanita bertudung yang sedang asyik dengan tarian menjadi tular di laman sosial.

Selain melancarkan koleksi tudung, Neelofa juga menyambut ulang tahun kelahirannya ke-29 di majlis yang sama.

Pelakon drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot ini mengambil sikap tidak peduli dengan kecaman dan kritikan netizen.

Tambah Neelofa, dia mempunyai alasan tersendiri atas pemilihan lokasi dan persembahan yang dibuat.

“Saya buat keputusan untuk tidak mempedulikan lagi kritikan orang ramai kerana apa yang lebih penting saya tahu apa yang dilakukan.

“Lokasi ini dipilih kerana bersuaian dengan tema berbanding beberapa tempat lain yang disenarai pendek.

“Lagi pun kalau pilih tempat lain, saya perlu mengeluarkan wang lapan kali ganda untuk memenuhi kehendak tema,” lapor Sinar Harian Online.

Majlis pelancaran tersebut juga dihadiri ibu serta adik-beradiknya dan turut meluahkan rasa syukur kerana majlis itu berjalan dengan lancar.