ETS bakal sediakan tempahan makanan dalam talian

 |Feb 27, 2018
Foto: Facebook Aziz Kaprawi

PETALING JAYA: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bakal melaksanakan pilihan pembelian makanan melalui tempahan awal secara dalam talian seperti yang dilakukan syarikat penerbangan.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi ketika lawatan kerja ke KL Sentral bagi melihat sendiri perkhidmatan ETS Tanjung Malim-KL Sentral bersama Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Rani Hisham Samsudin dan Pengurus Besar Perbadanan Aset Keretapi Dr Kang Tong Hum.

“Saya melihat perkhidmatan katering yang disediakan dan mendapati makanan yang disajikan berasaskan makanan beku tetapi enak dan dijual dengan harga berpatutan.

“Saya dimaklumkan juga bahawa ETS berhasrat untuk menyediakan pilihan pembelian makanan seperti mana yang dilakukan oleh syarikat penerbangan iaitu dengan kaedah tempahan awal secara online,” katanya dalam catatan terbaru di Facebook beliau.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut dapat meningkatkan mutu perkhidmatan ETS dan setaraf dengan piawaian antarabangsa.

Ab Aziz turut meluahkan kegembiraannya dengan perkhidmatan ETS yang disediakan KTM kepada rakyat di negara ini.

“Saya berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh ETS ini dengan sebanyak 36 penjalanan sehari pada Isnin sehingga Khamis dan 40 perjalanan sehari dari Jumaat ke Ahad dengan membawa purata sebanyak 11,500 orang penumpang sehari,” katanya.

Beliau berkata, kadar ketepatan waktu juga adalah pada tahap baik iaitu 90% dan berharap agar kadar ketepatan ini boleh dibaiki lagi sehingga mencapai sekurang-kurangnya 95%.

“Syabas dan tahniah KTM kerana berjaya menyediakan perkhidmatan ETS yang baik dan sejajar dengan harapan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak yang mahukan perkhidmatan pengangkutan awam negara terus berkembang pesat dan dapat menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

ETS yang dilancarkan pada Ogos 2010 merupakan perkhidmatan tren laju antara bandar di antara Penang Sentral, Butterworth dan Kuala Lumpur yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu pada 12 Ogos 2010.

Terdapat 10 stesen yang berkhidmat sepanjang laluan ini iaitu tiga di Perak, dua di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan dua lagi di Negeri Sembilan.