Pendaratan cemas : Enjin pesawat AirAsia X rosak

 |Feb 26, 2018

KUALA LUMPUR : Sebuah pesawat kepunyaan Air Asia terpaksa membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Okinawa Naha, Jepun pada jam 2.59 pagi waktu tempatan bersamaan pukul 3.59 pagi waktu Malaysia hari ini.

AirAsia X dalam sebuah kenyataan mengesahkan pendaratan tersebut dilakukan kerana terdapat masalah teknikal pada bahagian enjin pesawat D7 523 berkenaan.

Difahamkan, pesawat tersebut terpaksa melencong ke Okinawa selepas berlepas dari Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun ke Kuala Lumpur semalam.

Menurut kenyataan tersebut seramai 369 penumpang dan 10 anak kapal selamat

Pesawat D7 689 akan diterbangkan ke Okinawa untuk membawa penumpang yang terbabit ke Kuala Lumpur.

“Penerbangan D7 689 dijadualkan berlepas dari Okinawa pada 930 malam ini (waktu tempatan) dan tiba di Kuala Lumpur 2 pagi esok.

“Semua bantuan yang diperlukan oleh penumpang akan disediakan selain perkembangan terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Difahamkan, enjin kanan pesawat itu mengalami masalah kira-kira 2.15 pagi waktu tempatan, memaksa kapten penerbangan mematikan enjin berkenaan sebelum mengumumkan pendaratan cemas.