Kaunter hospital dirempuh warga emas

 |Feb 26, 2018

 

KUALA KANGSAR : Sebuah kereta yang dipandu warga emas dengan tidak sengaja merempuh kaunter saringan penyakit di Jabatan Pesakit Luar Hospital Kuala Kangsar. Rempuhan itu mengakibatkan kerosakan teruk pada kaunter berkenaan.

Kejadian yang berlaku pada pukul 8 malam tadi, warga emas itu baru selesai menerima rawatan di Jabatan Trauma dan Kecemasan sebelum dengan secara tidak sengaja mengundurkan kereta jenis PROTON EXORA yang diletakkan pada petak parkir Orang Kurang Upaya (OKU) bersebelahan kaunter Jabatan Pesakit Luar hospital tersebut.

Lelaki yang dipercayai berusia sekitar 70-an tersebut agak uzur dan bersendirian ke hospital.

Pengawal keselematan bertugas , Abdul Hamid Ali, 60, mengakui sempat memimpin tangan lelaki itu ke keretanya berikutan faktor kesihatan lelaki tersebut, lapor Harian Metro.

“Saya syak mungkin beliau tersilap tekan pedal minyak yang disangkanya pedal brek disebabkan rempuhan berlaku sekelip mata hingga mengakibatkan kerosakan serius pada dinding kaunter yang diperbuat dari gentian aluminium serta kaca itu.

“Kereta berkenaan juga didapati memasuki separuh daripada bahagian kaunter itu yang lantainya lebih tinggi.

“Rempuhan mengakibatkan bunyi yang sangat kuat hinggakan kakitangan hospital dan individu khususnya yang berada di JTK keluar bagi memastikan apa yang berlaku.

Walaubagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.