Teka teki tarikh PRU 14 terus jadi bualan hangat

 |Feb 22, 2018

PETALING JAYA: Teka-teki mengenai tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke 14
terus hangat dibicarakan sebagaimana pemimpin Barisan Nasional (BN) dan
pihak pembangkang berterusan melakukan kempen di seluruh negara.

Pelbagai persoalan sebenarnya muncul apabila bercakap mengenai tarikh
sebenar pembubaran Parlimen dan membuang undi yang melibatkan pemilihan
wakil-wakil rakyat.

Tidak kurang juga apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan
bayangan PRU 14 bakal diadakan.

Dalam tempoh tiga bulan ini, tiga bayangan yang dikongsi oleh Ahmad
secara tidak langsung menggambarkan PRU 14sudah semakin dekat.

Suhu demam pilihan raya pula semakin meningkat. Berdasarkan bayangan
terakhir Ahmad Zahid mengenai PRU14 akan diadakan sebelum Aidilfitri.

“Kita ada tiga raya, raya Cina baru lepas. Sebelum raya haji, kita ada
raya puasa tapi sebelum raya puasa, kita ada satu lagi ‘raya besar’,” kata
beliau dalam bayangan terbaharu.

November lalu, Ahmad Zahid yang memikul peranan timbalan presiden Umno
memberi bayangan PRU14 bakal diadakan selepas Tahun Baru Cina yang sedang
disambut.

Awal bulan ini, Najib memberi bayangan PRU14 akan diadakan sebelum 14
Julai ini. Pengerusi BN itu dipetik berkata bakal haji akan menyambut 2
‘raya’ terlebih dahulu, sebelum bertolak ke Mekah untuk menunaikan Rukun
Islam Kelima.

“14 Julai bererti dua peristiwa akan terlepas. Pertamanya, Hari Raya
Aidilfitri dan hari raya satu lagi. Dua-dua raya baru tuan-tuan naik haji.
Kita buat lebih awal supaya tuan-tuan semat dalam hati.

“Kalau kerajaan kita masih kekal, insya-Allah tuan-tuan dapat tunai fardhu
haji dengan baik, dengan selesa,” katanya pada 2 Februari lalu.

Perbincangan mengenai tarikh PRU 14 ini juga dihangatkan orang ramai
apabila ada yang meramal selepas habis sesi Dewan Rakyat (5 April),
sebelum masuk bulan Ramadan (17 Mei), sebelum Ketua Umum Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara (8 Jun)
serta pelbagai hujah beserta fakta-fakta yang boleh diguna pakai dan juga
masuk akal.

Isu persempadan semula juga turut diambil kira apabila pihak pembangkang
menyifatkan perkara tersebut sebagai satu muslihat kerajaan untuk menang
pada PRU 14.

Bagaimanapun, perkara tersebut disangkal Ahli Majlis Tertinggi UMNo, Datuk
Seri Ahmad Shabery Cheek yang menjelaskan bahawa persempadanan semula
kawasan pilihan raya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk
menang pada PRU14.

Tarikh mandat Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN)
akan berakhir pada 24 Jun ini. Justeru, PRU14 perlu diadakan dalam tempoh
60 hari selepas tarikh itu.

Pada pemilihan kali ini, sekurang-kurangnya 14,622,881 pemilih berdaftar
berada dalam rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 30 Jun tahun
lalu.