Permata sedia bekerjasama dengan Felcra tubuh taska

 |Feb 22, 2018
File pic credit Lim Kok Wing University.

KUALA LUMPUR: Permata Negara (Permata) bersedia bekerjasama dengan Felcra Berhad bagi menubuhkan Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak atau taska di setiap pejabat Felcra di seluruh negara.

Penaungnya Datin Seri Rosmah Mansor berkata penubuhan taska di setiap pejabat Felcra
membolehkan pekerja wanita termasuk anggota Wanita Dinamis Felcra (Wadira) menghantar anak masing-masing ke taska tersebut.

“Saya memahami bahawa Wadira begitu giat memajukan diri dan keluarga dengan terlibat
dalam pelbagai aktiviti ekonomi. Namun, saya menyarankan agar ahli Wadira tidak lupa
tanggungjawab mereka terhadap pembangunan anak-anak, khususnya di awal usia.

“Dengan adanya taska di tempat kerja, maka tenaga kerja wanita akan dapat
dioptimumkan serta produktiviti dipertingkatkan ekoran daripada kestabilan emosi
mereka (pekerja wanita) yang mengetahui anak mereka berada dalam jagaan yang baik.

“Dalam hal ini, Permata bersedia memberi kerjasama kepada Felcra dan Wadira dalam
usaha ini,” katanya dalam ucapannya semasa Majlis Perasmian Konvensyen Perdana Wadira di sini, hari ini.

Wadira merupakan sebuah organisasi wa­nita yang bertindak sebagai penyelaras dalam
merencanakan aktiviti-aktiviti sosial dan ekonomi untuk Felcra.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
dan Timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri itu turut memuji usaha Felcra yang memberi
penekanan terhadap pembentukan komuniti keusahawanan dalam kalangan wanita.

Sejak ditubuhkan pada 1979, Wadira kini mempunyai 17,562 anggota dengan 83 cawangan di seluruh negara.

Pada majlis tersebut, Rosmah turut diangkat sebagai Ikon Inspirasi Wadira Felcra atas
sumbangannya dalam pembangunan sosioekonomi wanita dan kanak-kanak daripada Felcra.

Anugerah tersebut disampaikan Pengerusi Felcra Datuk Seri Bung Moktar Radin.-Bernama