Kuota sektor kerajaan, IPTA, peluang naik pangkat aspirasi wanita India

 |Feb 22, 2018
Foto Facebook Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

KUALA LUMPUR: Peluang kenaikan pangkat serta kuota dalam perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah antara aspirasi dibangkitkan wanita India menerusi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) malam ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata aspirasi tersebut mendapat perhatian dan sokongan lebih 1,000 peserta yang menyertai dialog tersebut.

“Antara asiprasi dibangkitkan ialah kuota masyarakat India dalam kerajaan yang perlu ditambah selain ada mengadu pencapaian akademik anak mereka cemerlang tetapi tidak mendapat peluang dalam bidang dipohon di IPTA.

“Selain itu, mereka mahu peluang kenaikan pangkat bagi mereka yang sudah berjaya meningkatkan tahap pengajian semasa dalam perkhidmatan seperti kenaikan gred daripada Diploma kepada Ijazah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Dialog TN50 bersama wanita India di Auditorium Mahsa University, Jalan Universiti, malam tadi.

Presiden MIC itu berkata pihaknya akan meneliti kesemua aspirasi dan cadangan yang dibangkitkan sebelum membawa perkara tersebut kepada pihak berkaitan untuk dipertingkatkan pada masa depan.

“Sebagai contoh, mungkin kita boleh mohon Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) meletakkan kelayakan minimum bagi jawatan jururawat ialah Ijazah bagi memastikan gred mereka dinaik taraf seperti yang dilakukan di beberapa negara membangun.

“Ini semua cadangan yang perlu diteliti secara mendalam dan jangka panjang, namun tidak mustahil untuk dilaksanakan pada masa depan,” katanya.-Bernama