Salleh nasihatkan pembangkang terima hakikat Malaysia telah berjaya

 |Feb 21, 2018

PETALING JAYA: “Sudah tiba masanya pihak pembangkang menerima hakikat bahawa Malaysia telah berjaya dan dasar-dasar kerajaan yang berkesan,” itu yang ditegaskan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menerusi laman blog sskeruak.blogspot.my. hari ini.

Menurutnya, pembangkang sering mempolitikkan kejayaan ekonomi Malaysia dan
rakyat diberitahu sebaliknya dari apa yang sebenarnya berlaku.

“Pembangkang terus mengulangi pembohongan mengenai Malaysia yang muflis tetapi laporan antarabangsa membuktikan ini tidak benar,” katanya.

Salleh berkata, masyarakat antarabangsa mengiktiraf pencapaian Malaysia dan dapat melihat negara sedang menuju ke arah yang betul.

Menurutnya, empat puluh tiga anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) telah memuji Malaysia kerana pencapaian ekonomi yang mengagumkan serta dasar perdagangan dan ekonomi yang berhemat.

“Malaysia turut dipuji kerana secara aktif mendukung dasar perdagangan terbuka sama ada melalui pembaharuan sehala, perdagangan serantau, perdagangan dua hala dan peraturan perdagangan pelbagai hala.

“Ahli-ahli WTO juga menyedari kejayaan Malaysia dalam membaharui dan mempelbagaikan ekonominya telah menyumbang kepada pertumbuhan yang berterusan meskipun menghadapi pelbagai cabaran luar,” katanya.

Salleh berkata, pembaharuan ekonomi tidak mudah dan tidak boleh dilakukan secara jangka pendek.

“Ia memerlukan ketahanan dan kadang-kadang, dasar yang tidak popular demi untuk mencapai matlamat jangka panjang, terutamanya apabila cuba membetulkan kerosakan yang berlaku pada masa lalu,” katanya.