Masyarakat Cina terus sejahtera selari dengan kemakmuran negara kata PM

 |Feb 21, 2018

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap permulaan tahun baharu Cina ini akan memberi kesejahteraan kepada komuniti Cina selari dengan kemakmuran negara.

Menurutnya, sambutan Tahun Baru Cina yang diraikan oleh seluruh rakyat mengingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang unik dengan pelbagai acuan yang mana, setiap kaum atau bangsa telah memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan negara ini.

Jelasnya, komuniti Cina bukan sahaja memainkan peranan penting dari segi pembangunan ekonomi dan perniagaan, mereka juga telah banyak berjasa dalam perjuangan negara untuk mencapai kemerdekaan.

“Saya pasti semua masih ingat akan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun H.S Lee ataupun Yap Ah Loy yang telah turut sama membina dan membangunkan Kuala Lumpur,” katanya menerusi blog NajibRazak.com.

Menurutnya, dari segi pentadbiran, kerajaan juga sentiasa memastikan polisi-polisi yang digubal bersifat inklusif dalam memastikan keperluan setiap rakyat tanpa mengira kaum dipenuhi.

“Sejak saya mengambil alih tampuk pentadbiran, cukai pendapatan individu telah banyak dikurangkan, dan ini tentunya banyak memanfaatkan golongan profesional berbangsa Cina.

“Dalam Bajet 2018 contohnya, kadar cukai pendapatan individu telah dikurangkan sebanyak 2%. Bagi pembangunan PKS pula, saya telah umumkan kadar cukai bagi pendapatan bercukai sehingga RM500,000 pertama, akan dikurangkan daripada 19% kepada 18% dalam Bajet 2017. Selain itu, saya percaya PKS di Malaysia bakal menerima manfaat dan peluang ekonomi yang besar dengan adanya Zon Bebas Cukai Digital,” katanya.

Najib turut mengulas mengenai isu sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang dekat di hati komuniti Cina yang terus mendapat bantuan kerajaan.

Katanya, pada tahun lalu beliau telah mengumumkan penubuhan 10 lagi Sekolah Cina yang baru di samping peruntukan tahunan sebanyak RM50 juta untuk penambahbaikan sekolah Cina.

“Seperti tahun-tahun sebelum, peniaga PKS komuniti Cina turut diberikan akses khas kepada peruntukan sebanyak RM50 juta seperti yang diumumkan bawah Bajet 2018 melalui KOJADI, selain peruntukan RM30 juta untuk Yayasan Peniaga dan Penjaja Kecil 1Malaysia bagi memberi pinjaman kepada penjaja komuniti Cina,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan nasib penduduk Kampung Baru Cina juga tidak dipinggirkan.

“Saya harap dengan peruntukan sebanyak RM75 juta, kesejahteraan penduduk akan meningkat dengan pembangunan kemudahan seperti dewan-dewan dan taman-taman permainan. Rumah-rumah yang usang bakal dibaik pulih melalui program pembangunan ini.

“Dalam memastikan dasar-dasar yang digubal menepati keperluan komuniti Cina, kerajaan aktif mengadakan perbincangan dengan kumpulan dan persatuan aseperti Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia dan Hua Zong.

“Ini selaras dengan pendekatan terbuka yang diguna pakai oleh Kerajaan Barisan Nasional tidak seperti pendekatan di sesetengah negeri yang memilih untuk meminggirkan suara-suara persatuan Cina, secara langsung menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat,” katanya.