Jalan berlubang ditampal: Doa Timbalan Menteri dimakbulkan

 |Feb 20, 2018
Foto: Facebook Abu Bakar Mohamad Diah

PETALING JAYA: Aksi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah yang berdoa di hadapan jalan berlubang menjadi bualan netizen selepas dimuat naik pagi semalam.

Menerusi posting itu, Abu Bakar memuat naik tiga keping gambarnya sedang berdoa di hadapan jalan berlubang di Jalan Bukit Berlian, Melaka.

“10.40 pagi saya berdoa pagi ini adakah datuk bandar ke, pegawai daerah ke? ahli majlis ke? datang melihat lubang di Jalan Bukit Berlian yang makin membesar dan menggunakan kuasa mutlak yang ada untuk menampal jalan ini, sebelum ada warga Tangga Batu yang patah kaki atau tercedera.

“Ya Allah makbulkan permohonan hambamu ini Ameen. Setiap hari saya mesti rajin. Kita kena buat kerja yang berfaedah. Warga Tangga Batu sentiasa di hati,” tulis ahli Parlimen Umno itu di Facebooknya.

Abu bakar yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, dengan cara berdoa itu dibuat selepas tiada pihak tampil melakukan kerja penurapan jalan walaupun sudah berlarutan sejak sebulan lalu.

Harian Metro melaporkan, jalan tersebut telah diturap tidak sampai 12 jam gambar Abu Bakar dimuatnaik.

“Saya bekerja sama seperti orang lain dan perkara ini sudah lama berlarutan.Tempoh seminggu juga diberikan dan pagi tadi ketika dalam perjalanan pulang dari menziarahi kematian, saya lihat ia masih belum diturap.

“Takkan hendak tunggu sampai benda buruk terjadi baru hendak ambil tindakan.

“Alhamdulillah selesai kerja dan tanggungjawab saya kepada rakyat, khususnya pengguna yang melalui jalan itu,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Beliau berkata, minggu lalu enam keping gambar di lokasi yang sama sudah dimuatnaik di laman sosial Facebooknya namun tiada tindakan sehingga gambarnya berdoa di hadapan jalan yang sama menjadi tular.

Jelasnya, beliau mempunyai cara tersendiri dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat, khususnya penduduk Tangga Batu dan bukannya mahu menuding jari kepada pihak lain.