10 NGO buat laporan polis video ‘Like A Dog’

 |Feb 20, 2018

KUALA LUMPUR: Sepuluh badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Wee Meng Chee atau Namewee berikutan tindakannya memuat naik video kontroversi bertajuk ‘Like A Dog’ di media sosial baru-baru ini.

NGO berkenaan termasuk Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN), Kipidap dan Pertubuhan Maqasid Syariah Malaysia.

Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah yang mewakili kesemua NGO itu berkata laporan polis dibuat selepas rakaman video yang menaikkan kemarahan umat Islam terbabit menjadi tular.

“Kami menggesa pihak berkuasa terlibat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Luar supaya mengambil tindakan tegas ke atas Namawee supaya ia tidak berulang lagi.

“Kami hormat budaya mereka malah tiada bantahan sekiranya ingin merakamkan video namun janganlah menghasilkan video sedemikian yang lucah dan dengan latar belakang masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Turut hadir Presiden IRIMM Amir Amsa Alla Picthay, Presiden GMPN Mejar (B) Razali Zakaria, dan Penasihat Pertubuhan Maqasid Syariah Malaysia, Prof Dr Zahlan Man.

Sementara itu, Razali berkata penyanyi rap itu diminta supaya tidak hanya mengeluarkan kenyataan tetapi sebaliknya melaporkan kepada polis dan menyerah diri bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah pun dibuka jadi kalau hormat perlembagaan undang-undang Malaysia, sila serah diri segera,” katanya.

Minggu lepas, Namewee memuat naik klip video terbarunya bersempena Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Like A Dog’ yang memaparkan sekumpulan individu memakai topeng anjing yang didakwa mengandungi aksi tarian lucah berdekatan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata PDRM telah membuka kertas siasatan terhadap Namewee berhubung klip video itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata PDRM bekerjasama dengan SKMM bagi menyiasat klip video kontroversi berkenaan.-Bernama