Harga rumah tinggi: Apa pilihan yang ada?

 |Feb 19, 2018
Foto: Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: “Rumah sekarang harga mahal sangat, tak mampu nak beli. Kalau ada harga yang rendah sikit, lokasinya jauh sangat dari tempat kerja.”

Itulah antara luahan yang sering didengar daripada golongan muda apabila berbicara soal pembelian rumah.

Dalam keadaan harga rumah baharu dibina yang terlalu tinggi buat golongan muda yang mencari rumah pertama, sudah sampai masanya mereka melihat pembelian rumah dari perspektif lain iaitu membeli rumah sekunder atau ‘subsale’.

Pembelian rumah sekunder ini dilihat lebih sesuai untuk golongan muda yang baharu mula bekerja terutamanya di bandar bagi dijadikan fokus dalam memiliki rumah pertama berbanding membeli rumah dalam pasaran baharu atau dalam pembinaan.

Bagi penulis hartanah dan pelaburan Dr Azizul Azli Ahmad, rumah sekunder yang merujuk kepada membeli rumah daripada pihak lain selepas pemaju masih banyak dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding harga rumah baharu.

“Sebagai contoh, kondominium sekunder di Bangsar masih ada dijual pada harga RM600 hingga RM1,000 satu kaki persegi (kps) berbanding kondominium baharu yang dijual pada harga RM1,500 hingga RM2,200 kps,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Azizul Azli berkata jika membuat carian dalam laman sosial seperti mudah.my dan myproperty.com, masih banyak rumah sekunder di Kuala Lumpur yang dijual bawah RM200,000, yang mana harga itu mampu dibeli oleh kebanyakan mereka yang mula bekerja.

Beliau berkata pembeli rumah sekunder juga boleh melakukan proses tawar-menawar harga asal rumah itu dengan pemilik berbanding harga jualan rumah baharu yang dibina pemaju.

“Selain itu, rumah subsale yang dibeli dijamin boleh diduduki terus tanpa bimbang berlakunya kes rumah terbengkalai, akses kemudahan seperti kedai dan mereka juga boleh berurusan terus dengan pemilik asal sekiranya terdapat kerosakan pada rumah semasa proses jual beli,” katanya sambil menambah pada tahun lepas sahaja pasaran jualan hartanah sekunder ada lebihan RM4 bilion.

Baru-baru ini Bank Negara Malaysia (BNM) dalam buletin suku tahunannya mendedahkan bahawa Malaysia menghadapi kekurangan rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan ramai, yang menunjukkan rumah di negara ini ‘tidak mampu dibeli’.

BNM menganggarkan harga rumah mampu milik di negara ini ialah pada maksimum RM282,000, berdasarkan pendekatan beban kos perumahan, namun median harga rumah sebenar ialah RM313,000 (pada 2016), jauh melepasi kemampuan kebanyakan isi rumah, dengan pendapatan median isi rumah kebangsaan hanya RM5,228,

Ditanya mengenai trend untuk terus menyewa hingga benar-benar mampu membeli rumah idaman, Azizul Azli berkata konsep terus menyewa tidak salah dipraktikkan sekiranya kadar bayaran bulanan sewa hanya 50 peratus daripada bayaran pembiayaan perumahan semasa.

Sementara itu, Koordinator Program Pengurusan Hartanah Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perak, Dr Hairul Nizam Mansor berpendapat kerajaan perlu menyediakan polisi yang lebih agresif dalam mengawal harga pasaran hartanah.

“Di negara kita ada golongan yang mampu beli rumah berharga lebih RM300,000 dan menyewakan rumah itu hingga menjadikan harga hartanah semakin mahal menyebabkan satu lagi golongan yang tidak mampu perlu menyewa sampai bila-bila.

“Kerajaan perlu memperbanyakkan polisi perumahan seperti mengehadkan kuota pembelian rumah mahal kepada dua sahaja seperti di luar negara, selain kawalan peminjaman di Bank Negara perlu diketatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah Ahyat Ishak mempunyai pandangan berbeza terhadap kemampuan golongan muda untuk membeli rumah sambil melahirkan kebimbangan beliau dengan trend terkini iaitu mereka lebih suka menilai ‘harta’ pada pengalaman hidup berbanding menyimpan duit untuk jaminan masa depan.

“Sekarang, orang muda banyak habiskan gaji mereka dengan melancong, tukar gajet dan fesyen terkini yang menyebabkan mereka tiada langsung duit simpanan sebagai deposit pembelian aset atau rumah. Penyimpanan duit dari awal memang sukar tapi perlu…tiada negara di dunia boleh beli rumah dengan senang-senang,” katanya.-Bernama