Raikan Tahun Baru Cina dengan semangat Malaysia kata Salleh

 |Feb 15, 2018
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak. – MO file pic.

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
mahu rakyat negara ini meraikan sambutan Tahun Baru Cina dengan semangat Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan bukan sahaja kaum Cina tetapi semua rakyat Malaysia selamat menyambut Tahun Baru Cina dan semoga kita menyambut perayaan ini dalam semangat Malaysia,” katanya dalam catatan terkini laman blog beliau sskeruak.blogspot.my.

Jelasnya, pemahaman antara semua kaum adalah asas kemerdekaan Malaysia dan kaum Cina mempunyai kepentingan di negara ini seperti mana orang Melayu dan sepanjang masa perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali menjadi perayaan rakyat Malaysia.

“Apabila Umno merundingkan kemerdekaan dengan British pada tahun 1950-an, salah satu syarat yang ditetapkan oleh British sebelum sebarang rundingan boleh diadakan adalah orang Cina dan India mesti terlibat dalam perbincangan itu. Ketika itulah Parti Perikatan Umno, MCA dan MIC dibentuk pada tahun 1952.

“Rundingan kemerdekaan tidak mudah dan banyak kompromi dan konsesi yang perlu dibuat oleh semua pihak. Akhirnya perjanjian telah dicapai dan pada bulan Ogos 1957 kemerdekaan diisytiharkan,” katanya.

Sambutan Tahun Baru Cina itu bakal diraikan pada 16 Februari ini oleh masyarakat Cina seluruh dunia bagi menandakan kelahiran tahun baru mengikut kalendar lunar.