Perluas segera usaha tangani penularan hadis palsu- Ahmad Zahid

 |Feb 15, 2018
Gambar fail MO.

PUTRAJAYA: Usaha menangani penularan hadis palsu perlu melangkaui pemantauan terhadap bahan bercetak sahaja dengan tumpuan harus turut diberikan terhadap ‘penceramah segera’, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata penerbitan bercetak mudah dipantau kerana ia memerlukan permit dan tertakluk kepada piawaian seperti Nombor Buku Piawai Antarabangsa (ISBN), yang membolehkan ia ditarik daripada pasaran sekiranya wujud elemen yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Berucap pada majlis Wacana Kawal Selia Hadis dan Pelancaran Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadis Siri Kedua di sini hari ini, Ahmad Zahid menarik perhatian mengenai penyebaran hadis palsu dilakukan ‘penceramah segera’ melalui ceramah di medium seperti YouTube.

“Memang ceramah dia merujuk kepada sumber hukum tetapi tafsirannya berbeza…apatah lagi dia mempunyai pengikut yang ramai dan taksub. Ini boleh mendorong berlakunya amalan yang salah dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri melihat gejala itu secara dekat dan memperluaskan usaha menanganinya dengan segera.-Bernama