Kostum singa: Tan Khar Mee kekalkan warisan masyarakat Cina

 |Feb 15, 2018
Foto: MO Azrol Ali

IPOH: Usia tidak menghalang Tan Khar Mee untuk terus menghasilkan kostum kepala singa bagi memenuhi permintaan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Khar Mee yang berusia 75 tahun tidak pernah mengenal erti penat melakukan kerja-kerja menghasilkan kostum singa, naga dan pelbagai lagi mengikut permintaan kerana baginya itu adalah warisan yang harus dikekalkan.

Beliau merupakan antara insan terawal di negara ini menghasilkan kostum singa selepas belajar daripada bapa saudaranya yang berasal dari China sejak berusia 11 tahun.

Ilmu yang diperolehinya itu diteruskan sehingga lebih 40 dekad di sebuah kedai runcit di Jalan Laxamana, Ipoh, Perak dan kedai itu dikekalkan dan menjadi tempat untuknya terus menghasilkan kostum singa dan sebagainya.

Khar Mee dibantu oleh isterinya, Soi Lai Fong, 74, yang membantu menyediakan bahagian badan dan kaki singa.

Menurutnya, kerja kreatif untuk menghasilkan kepala singa adalah merancang dan membuat bingkai dengan menggunakan buluh sebelum diletakkan kertas dan kain untuk dicat.

Beliau turut mempamerkan hasil seninya kepada orang ramai untuk memberikan pengetahuan dan mengekalkan tradisi kepada pengunjung di bangunan Market Terrace, Jalan Laxamana, Ipoh.

Menurut catatan sejarah, singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan kepercayaan masyarakat Asia terutamanya mereka yang berketurunan Cina. Tarian singa menjadi satu budaya di China, Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, dan Vietnam.

Setiap negara mempunyai corak dan tarian yang berbeza-beza. Tarian singa dipercayai sebahagian daripada warisan masyarakat Cina kerana sejarahnya bermula lebih 1,000 tahun lalu. Dua tarian singa yang popular ialah tarian singa utara dan tarian singa selatan.

Tarian singa utara berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian sebagai hiburan diraja. Kostum singa terdiri daripada warna merah, jingga dan kuning (warna hijau bagi kostum singa betina).

Tarian singa utara lebih banyak melakukan pergerakan akrobatik dan bertujuan hiburan. Tarian singa selatan lebih membawa perlambangan alam sekitar.

Tariannya dipersembahkan sebagai istiadat upacara membuang semangat jahat dan meminta tuah.

Tarian singa selatan menggunakan pelbagai warna dan kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada singa utara. Ia juga mempunyai cermin dan sebatang tanduk di kepalanya.

SHARE