Tarik Jeans cetus cinta dalam rekaan, ubah stigma mengenai anjing

 |Feb 14, 2018
Tarik Jeans mahu mengubah stigma masyarakat mengenai anjing melalui keluaran baju-T terbarunya sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini. Foto: MO Azrol Ali

PETALING JAYA: “Kami ingin mengubah stigma masyarakat mengenai anjing dan mengajak mereka untuk sayangkan haiwan,” itu yang ditegaskan pengasas jenama Tarik Jeans, Afiq Iskandar Zainal Arrifin mengenai koleksi rekaan baju-T terbaru mereka sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.

Menurutnya, rekaan baju-T yang memaparkan perkataan dan gambar anjing dibelai dengan tangan tercetus daripada kisah sepasang suami isteri Melayu di Kedah yang sanggup mengutip dan memelihara binatang yang berkeliaran di jalanan seperti anjing dan kucing.

Katanya, tindakan pasangan suami isteri itu sangat dihormati dan mengubah persepsi masyarakat untuk menyayangi semua jenis haiwan termasuk anjing.

“Di Malaysia ini, stigma mengenai anjing adalah haram tetapi dengan kasih sayang dapat memecahkan halangan di antara bangsa dan perspektif budaya masing-masing.

“Itu sebabnya kami keluarkan baju-T yang ada nama anjing bagi memberi kefahaman kepada semua untuk memahami dan sayang makhluk yang diciptakan Tuhan,” katanya ketika ditemui Malaysia Outlook di pejabat operasi mereka di sini.

Jelasnya, rekaannya itu dapat mencetuskan persoalan dan membuka minda rakyat untuk lebih terbuka dalam membezakan agama dan budaya sekaligus tidak meminggirkan kaum lain untuk menyambut perayaan mereka.

Kalendar lunar Cina mempunyai 12 simbol haiwan termasuk anjing dan babi, di mana setiap satu akan ditetapkan pada tahun-tahun tertentu dalam kitaran 12 tahun. Tahun Cina kali ini, yang permulaannya akan dirai pada 16 Februari ini, merupakan tahun anjing.

Afiq berkata, rekaan baju-T ‘anjing’ ini bukan sahaja direka khas untuk sambutan Tahun Baru Cina tetapi juga kepada mereka terutamanya kaum Melayu yang sanggup berusaha untuk membantu anjing dan semua makhluk yang hidup.

Menurutnya, baju-T berkenaan yang sudah berada di pasaran sejak seminggu lalu mendapat sambutan mengalakkan daripada pelbagai kaum dan ini menunjukkan kematangan rakyat berbanding zaman kecilnya dahulu.

Pemuda yang berusia 32 tahun yang juga gitaris kumpulan Oh Chentaku berkata, Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang hebat tetapi isu mengenai anjing seolah-olah diperbesarkan untuk memecahkan kaun di negara ini.

Dia turut kesal apabila isu kaum Melayu memegang anjing dijadikan masalah besar sedangkan pelbagai isu jenayah serius yang perlu di beri perhatian seperti pedofil.

“Mereka ini tidak faham konsep seperti kami yang pegang anjing dan bukan ambil tangan anda untuk pegang anjing itu, itu pun nak marah sedangkan banyak lagi isu yang lebih kritikal,” katanya.

Afiq berkata, dia dan tiga rakan kongsinya tidak gentar dengan kecaman dan menjadikan baju-T tersebut sebagai kanvas bagi menimbulkan persoalan kepada si pemakai dan juga orang di sekeliling.

Tarik Jeans bermula tahun 2009 dengan menghasilkan kain denim dan melebarkan sayapnya dengan mereka pelbagai koleksi baju-T dengan perkataan yang boleh menimbulkan persoalan sekaligus mencetuskan kasih sayang.

Sehingga kini lebih 100 koleksi baju-T dihasilkan dan diantaranya ‘Dan Lain-Lain’, ‘Pendatang’, ‘Baby Rina’ dan turut menampilkan Celaka Tees yang juga keluaran di bawah Tarik Jeans.

Rakan kongsi Tarik Jeans, Jiman Casablancas berkata, pemilihan jenama Tarik Jeans itu sendiri mencerminkan identiti Malaysia kerana majoriti warga Malaysia pasti pernah minum atau lepak di warung atau restoran mamak bagi menikmati segelas teh tarik, tidak kira bangsa dan agama.

Menurutnya, tiada jenama diusahakan anak muda tempatan yang menggunakan bahasa Melayu, pilihan jenama Tarik dilihat paling sesuai untuk menggambarkan masyarakat majmuk di negara ini.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan baju-T dan pelbagai produk denim yang berkualiti hasil buatan anak tempatan boleh layari laman web www.tarik.my atau Instagram dan Facebook @tarikjeans.