Pelakon Azmil Mustapha meninggal dunia

 |Feb 14, 2018

PETALING JAYA: Pelakon era 80-an, Mohd Azmil Mustapha meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Mstar Online melaporkan, pelakon filem Ali Setan yang berusia 65 tahun itu  menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Seksyen 9, Shah Alam.

Berita itu disahkan oleh adiknya Aziph Mustapha.

Jenazah dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Alam (Masjid Biru) untuk urusan serta solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam dekat sini untuk dikebumikan selepas waktu Asar.

“Kami memohon maaf bagi pihak Allahyarham atas segala kekhilafan, dan mohon doakan kesejahteraan Allahyarham. Mohon hubungi kami sekiranya ada sebarang kesulitan,” katanya.

Sebelum ini, pelakon filem Ali Setan 1 dan 2 beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung dan kesukaran bernafas.

Filem lain yang turut menaikkan nama Mohd Azmil di persada hiburan tanah air ialah Mekanik, Suara Kekasih dan Driving School.

Selain daripada berlakon Azmil juga mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan pernah merakamkan album bertajuk Pilihanku.

Kali terakhir beliau muncul sebagai pelakon menerusi filem Puteri Gunung Ledang pada 2004.