Nafi terlibat dalam video seks, Chong Wei buat laporan polis

 |Feb 14, 2018
Gambar fail kredit Facebook Lee Chong Wei 李宗伟.

PETALING JAYA: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menafikan penglibatan beliau yang dikaitkan dalam sebuah video seks selepas tular di media sosial baru-baru ini.

Chong Wei, 35 tahun mendakwa telah menerima klip video berkenaan dari pelbagai pihak dan mendakwa tindakan tersebut adalah berkemungkinan besar dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu merosakkan kariernya selaku pemain badminton.

Jelasnya, ia boleh dikaitkan dengan tayangan perdana filem biopiknya bertajuk ‘Lee Chong Wei: Rise of the Legend’ yang dijadualkan bulan depan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu menegaskan lelaki dalam video tersebut bukan dirinya
jadi tiada apa yang perlu dijelaskan dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat perkara tersebut.

“Itu bukan saya. Jika dilihat betul-betul, semua orang tahu bahawa itu bukan saya. Ramai orang menghubungi saya berhubung perkara itu dan saya hanya mampu tergelak apabila tahu mengenainya.

“Ia berada di luar kawalan saya. Justeru, saya akan membuat laporan polis berhubung perkara ini dalam masa terdekat,” katanya yang dipetik dari Kosmo Online.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila wajah lelaki yang dipaparkan dalam video seks berdurasi 11 minit itu menyerupai wajah pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu.

Chong Wei yang sudah membuat laporan polis di Bukit Aman tampil memberi keterangan selama tiga jam petang semalam.

Tambah Chong Wei, perkara se­perti itu sedikit sebanyak menjejaskan maruahnya selain mengakui dia sering menjadi mangsa kepada individu-individu tidak bertanggungjawab seperti itu.

“Mungkin saya tidak peduli de­ngan perkara seperti ini tetapi kadang-kadang ia akan memberi kesan kepada diri kita sendiri.

“Harus diakui, pasti ada orang yang tidak gembira dengan kejayaan kita dan perkara ini merupakan salah satu contoh kerana mereka akan lakukan sesuatu bagi menjatuhkan anda,” ujarnya.

Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman (Multimedia dan Siber), SAC Ahmad Noordin Ismail  mengesahkan Chong Wei sudah membuat laporan dan meminta polis menjalankan siasatan menyeluruh.