Baju gambar anjing: Tidak sesuai, boleh timbulkan fitnah kata PPIM

 |Feb 14, 2018

PETALING JAYA: Penasihat media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tuan Asmawi Tuan Umar menjelaskan umat Islam tidak digalakkan memakai pakaian yang memaparkan imej anjing kerana bimbang boleh menimbulkan fitnah.

Menurutnya, tindakan tersebut dari segi hukumnya adalah syubhah bermaksud yang tidak jelas, iaitu kekeliruan antara kehalalannya dan keharamannya sehingga boleh menimbulkan fitnah.

“Tiada masalah untuk sesiapa yang memakai baju mempunyai perkataan atau gambar anjing tetapi ini boleh menimbulkan fitnah kepada si pemakai kerana itu (anjing) benda yang diharamkan dalam Islam.

“Kita tidak sepatutnya menyokong benda atau perkara yang telah diharamkan oleh Islam.

“Dari segi kepercayaan, haram itu jelas dan halal pun jelas, apa yang berlaku (pakai baju gambar anjing) adalah syubahah dan apabila syubahah ia dekat dengan haram,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Tegasnya, umat Islam tidak pernah dilarang untuk menghormati kepercayaan bangsa lain terutamanya dalam negara ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Menurutnya, rakyat di negara ini bebas untuk meraikan pelbagai perayaan yang diraikan pelbagai bangsa namun perlulah tidak melampaui batas agama.

“Saya bagi contoh, kita kenal isteri orang itu dan kita baik dengan suami dia, kita boleh bertegur sapa tetapi untuk sentuh dan duduk satu bilik itu tidak sesuai, kita tidak boleh melampaui batas.

“Sebagai seorang umat Islam, kita harus mengikut ajaran Islam dan bukan ajaran agama lain,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh jika seorang umat Islam yang memakai pakaian gambar dan perkataan anjing, mungkin ada yang mengatakan individu berkenaan tidak sembahyang dan itu juga telah menyebabkan fitnah.

“Contohnya, kalau anda suka akan seorang wanita yang merupakan isteri orang dan meletakkan gambar wanita itu di baju-T dan dipakai. Dari segi fekahnya, anda tidak memeluk isteri orang itu tetapi apa pandangan suaminya dan orang yang melihat.

“Begitu juga dengan situasi sama apabila umat Islam yang memakai baju yang ada gambar dan perkataan anjing ini,” katanya.

Asmawi berkata, tidak timbul sebarang masalah atau kekacauan apabila sesebuah syarikat mengeluarkan pakaian atau barangan yang menggunakan gambar anjing sekiranya sasaran pembeli mereka adalah bukan yang beragama Islam.

Awal Januari lalu, sebuah pasar raya utama negara ini dikecam selepas tidak memaparkan gambar anjing dan babi dalam koleksi baju-T mereka sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Baju T berwarna merah itu mempunyai gambar tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet dan ayam, kecuali gambar anjing dan babi yang digantikan dengan tulisan Cina 2 haiwan berkenaan.

Dalam satu laporan Reuters, Pavilion Kuala Lumpur berkata sensitiviti agama dan budaya menjadi faktor penentu dalam konsep perhiasan mereka yang tidak memaparkan imej anjing.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata lambang anjing, babi dan haiwan lain dalam kalendar lunar Cina tidak perlu dijadikan isu, selaras dengan konsep fiqh ta’ayush atau kebersamaan dalam masyarakat majmuk.

Ketua Pengarah Tan Sri Othman Mustapha berkata walaupun Tahun Baru Cina menggunakan haiwan sebagai perlambangan, semua pihak perlu menghormati perkara itu dan “sentiasa mengekalkan keharmonian antara kaum”.

“Ini selaras dengan pendekatan wasatiyyah dalam Islam yang telah menjadi dasar kerajaan,” kata Othman dalam kenyataan di Facebook.

“Semangat kebersamaan dalam perkara ini perlu difahami secara bijaksana dan berhikmah oleh semua pihak demi mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya.

SHARE