Haram rosakkan undi, tidak mengundi kata mufti WP

 |Feb 13, 2018
Foto: Facebook Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

PETALING JAYA: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri menjelaskan adalah haram untuk merosakkan undi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata demikian susulan terdapat gerakan yang mempromosikan kempen undi rosak yang dipercayai bertujuan untuk menyatakan protes kepada semua parti dan calon pilihanraya kerana kecewa terhadap manisfesto dan wibawa barisan kepimpinan yang dicadangkan oleh calon dan parti yang bertanding dalam PRU 14.

“Begitu juga haram hukumnya daripada sudut syarak untuk tidak mengundi dan mendaftarkan diri sebagai pengundi.

“Sehubungan dengan itu, kami menyeru kepada semua warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi agar mendaftarkan diri dengan segera untuk mengundi sempena PRU 14 dan melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan mengundi calon-calon yang diyakini menjaga Dharuriyyat al-Khams yang lima itu iaitu agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan dalam laman Facebook.

Jelasnya dalam siri Bayan Linnas ke-126, mengundi adalah antara tanggungjawab terbesar masyarakat bagi melaksanakan perintah Allah supaya bersatu dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri.

Katanya, umat Islam perlu sedar bahawa sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah.

“Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya.

“Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya,” katanya.

Januari lalu, gerakan memboikot atau sengaja merosakkan undi pada PRU14 tersebar di laman media sosial dengan hashtag #UndiRosak, #SpoiltVote dan #ProtesPRU.

Kempen yang menjadi subjek perdebatan hangat di media sosial baru-baru ini, dikritik pemimpin daripada parti pemerintah dan pembangkang, termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh pemimpin Umno di sebalik kempen itu.

Kempen itu muncul sebagai tanda protes terhadap BN dan PH, selepas Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri gabungan 4 parti pembangkang itu pada 7 Januari lalu.

Pada 3 Februari lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, haram bagi orang Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosakkan undi.

Katanya, tindakan itu bermakna jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik, selain menarik diri daripada tanggungjawab menentukan nasib serta hala tuju masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa rakyat agar tidak terpengaruh dengan kempen undi rosak yang ditularkan oleh pihak tertentu dengan tujuan merosakkan proses demokrasi di negara ini.

Katanya, tindakan pihak berkenaan yang mahu menjadi ‘third force’ atau kuasa ketiga pada pilihan raya umum (PRU) akan datang hanya semata-mata untuk merosakkan pilihan raya itu.