Bangunan KWSP Jalan Gasing terbakar

 |Feb 13, 2018
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Petaling Jaya. Foto: MO Azrol Ali

PETALING JAYA: Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing di sini terbakar pagi tadi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Soiman Jahid berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 11.52 pagi dan 70 anggota bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada kerja-kerja penyelengaraan yang mencetuskan percikan api terkena pada lapisan pelindung yang dipasang pada luar bangunan.

“Kami mendapati lapisan pelindung yang digunakan adalah daripada bahan mudah terbakar, ditambah dengan keadaan cuaca yang panas dan berangin menyebabkan kawasan luar bangunan terbakar serta merebak dan tidak melibatkan bahagian dalaman bangunan.

“Kebakaran bermula dari tingkat satu dan menjejaskan sedikit bahagian dalam di tingkat 6 yang mengandungi dokumen tidak penting,” katanya pada sidang media di tempat kejadian di sini.

Soiman berkata, lapisan pelindung yang menggunakan bahan mudah terbakar ini jelas telah melanggar undang-undang namun siasatan masih diteruskan.

Katanya, kejadian ini adalah pertama berlaku di Malaysia melibatkan bahan yang mudah terbakar di luar bangunan.

Foto: MO Azrol Ali

Dalam kejadian tersebut, 527 mangsa berjaya menyelamatkan diri di kawasan lapang berdekatan kawasan kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi KWSP, Datuk Mohamad Naim Darwish berkata, cawangan dan pejabat KWSP Petaling Jaya ditutup sementara sehingga diumumkan dan pekerja akan dipindahkan ke cawangan berhampiran.

Beliau memberi jaminan bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas dan pihaknya akan sentiasa memantau situasi serta akan memaklumkan sebarang
perkembangan setelah operasi cawangan dibuka semula.

Ahli dan majikan yang ingin menjalankan sebarang transaksi dengan KWSP dinasihatkan
untuk menghubungi atau mengunjungi cawangan KWSP terdekat yang terletak di ibu pejabatKWSP Jalan Raja Laut.

Selain itu, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 atau menghantar pertanyaan melalui lamanweb myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my.

SHARE