Salleh nafi bayaran dividen tinggi KWSP ada kaitan dengan PRU

 |Feb 12, 2018

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan pembayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) pada tahun 2017 tidak ada kaitan dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

Beliau jelas kesal dengan pembangkang yang menjadikan isu tersebut sebagai modal dan mengaitkannya sebagai dividen pilihan raya.

“Sebenarnya, pembayaran dividen KWSP ini telah meningkat secara beransur-ansur sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan bukan hanya pada tahun ini.

“Pada tahun 2014 dan 2015, KWSP mengisytiharkan dividen yang lebih tinggi berbanding tahun 2013, yang juga merupakan tahun pilihan raya, jadi ia tidak ada kaitan dengan pilihan raya,” katanya menerusi catatan di laman blog beliau, malam tadi.

Salleh berkata, sekiranya KWSP mengumumkan dividen yang sangat rendah tahun ini, pembangkang akan menggunakan perkara itu sebagai bukti bahawa ekonomi sedang dalam keadaan buruk dan negara akan bankrap.

“Mantra ‘Malaysia akan bankrap’ telah dicanangkan selama bertahun-tahun tetapi apa yang berlaku sebenarnya adalah pertumbuhan ekonomi yang bertambah kukuh.

“Mengikut laporan ekonomi negara-negara lain, Malaysia dinilai antara yang terbaik di rantau ini,” katanya.

Jelasnya, ahli ekonomi asing telah meramalkan pertumbuhan yang tinggi untuk Malaysia dan hanya penyokong Pakatan Harapan yang berpendapat negara akan muflis.

“Rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara untuk bercuti juga meningkat setiap tahun berdasarkan statistik yang dikumpulkan.

“Lebih daripada 26 juta pelancong asing juga datang ke Malaysia pada 2016 dan ini dijangka meningkat kepada 30 juta menjelang tahun 2020,” katanya.

Tegasnya, aktiviti rakyat Malaysia itu bukan petanda negara dalam masalah.