Pesawat penumpang Rusia bawa 71 orang terhempas

 |Feb 12, 2018

MOSCOW: Sebuah pesawat penumpang yang membawa 71 orang terhempas sejurus selepas meninggalkan Moscow, dan harapan untuk kru serta penumpang selamat adalah tipis, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber perkhidmatan kecemasan kepada agensi berita Interfax pada Ahad.

Pesawat jenis Antonov An-148 milik Saratov Airlines itu, yang membawa 65 penumpang dan enam kru, dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Domodedovo di Moscow ke Orsk di Wilayah Orenburg di barat Rusia.

Perhubungan radio dengan pesawat buatan Rusia berusia tujuh tahun itu terputus pada 2.21 petang waktu tempatan (1121 GMT), beberapa minit selepas berlepas.

“Secara tentatif, pesawat itu terhempas berhampiran Kampung Argunovo. Kru dan penumpang tidak mempunyai harapan untuk selamat,” kata sumber itu.

Saksi di Kampung Argunovo memberitahu media bahawa mereka nampak sebuah pesawat yang sedang terbakar jatuh dari udara, dan laporan Interfax menyebut cebisan dua mayat telah ditemui.

Sementara itu, Presiden Rusia Vladimir Putin merakamkan ucapan setinggi-tinggi takziah kepada mereka yang kehilangan sanak-saudara dalam nahas tersebut dan mengeluarkan arahan agar satu suruhanjaya kerajaan ditubuhkan bagi menyiasat tragedi berkenaan, kata setiausaha akhbar beliau, Dmitry Peskov.

Jawatankuasa Siasatan Rusia telah memulakan siasatan berhubung nahas itu manakala Menteri Pengangkutan Rusia, Maksim Sokolov, sudah berlepas ke lokasi kejadian.

Kementerian Pengangkutan Rusia memaklumkan Interfax bahawa beberapa faktor yang dipercayai menjadi punca nahas berlaku sedang dipertimbang, termasuk keadaan cuaca dan kelalaian manusia.

SHARE