Dihalau penduduk: Tidak adil PH salah UMNO, BN kata Shahrir

 |Feb 12, 2018
Foto: Facebook Shahrir Abdul Samad.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, tidak adil Pakatan Harapan (PH) menyalahkan Umno atau Barisan Nasional (BN) atas insiden Lim Kit Siang dihalau sekumpulan penduduk Kampung Bakar Batu di kawasannya, semalam.

Selepas melihat video yang dimuat naik Adun Stulang, Andrew Chen Kah Eng ke Facebooknya, beliau tidak nampak penyokong Umno atau BN berada di tempat kejadian, seperti didakwa pemimpin PH yang menjadi dalang mencetuskan kekecohan itu sehingga memaksa Program Sembang Santai Warung dibatalkan.

“Apa yang saya boleh nampak ialah simbol parti DAP, PKR dan PPBM atas baju kumpulan YB Chen, yang juga termasuk YB Lim.

“Tetapi, saya tidak nampak sebarang baju Umno atau BN yang dipakai penduduk kampung. Untuk menyalahkan BN, Umno atas kejadian ini tidak adil,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau yang menjadi ahli Parlimen Johor Bahru sejak 1978 tidak tahu siapa atau punca kumpulan penduduk kampung yang datang dari sebuah surau selepas menghadiri aktiviti keagamaan itu, mempunyai reaksi sedemikian.

Shahrir mengulas kejadian semalam di mana lebih 50 penduduk menghalau Lim yang juga ketua Parlimen DAP yang pertama kali menjejakkan kaki ke Kampung Bakar Batu.

Program Sembang Santai Warung yang dianjurkan Chen terpaksa dibatalkan selepas berlaku kekecohan dan pemilik warung itu dikatakan tidak dapat meminjam premisnya kepada penganjur disebabkan “tekanan”.

Keadaan dilaporkan bertukar tegang apabila seorang ustaz tampil bersama penduduk kampung untuk menghalang Lim dan Osman bersama wakil pemimpin PH lain yang disusuli tindakan beberapa individu melaungkan “Saya penduduk kampung di sini, jangan kritik Umno”.

Setiausaha PH dan PPBM Johor, Datuk Osman Sapian ketika dihubungi FMT hari ini tidak menolak kemungkinan kumpulan penduduk kampung itu diugut dan dibayar berbuat demikian demi kepentingan politik setempat.

Katanya, Program Sembang Santai Warung yang sepatutnya diadakan 9 malam semalam, dirancang 2 minggu lebih awal dengan pemilik warung terbabit bersetuju meminjam premisnya kepada penganjur.

“Saya tidak menolak ada pimpinan kawasan itu yang tidak suka kita ke tempat itu. Lebih mengejutkan ketua kampung itu juga turun bersama kumpulan itu membuat kacau dan melakukan provokasi.

“Saya orang Johor Bahru, saya dibesarkan di sini. Saya tahu budaya orang Johor, kalau tidak ada orang di belakang, mereka tidak akan buat. Budaya orang Johor bagus, ada budi bahasa, kemungkinan ada tekanan politik untuk menjaga kedudukan ketua kampung di situ,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahrir yang juga bekas pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) berkata, Lim selaku pemimpin Johor DAP bebas menemui pengundi seperti “akses percuma sama yang beliau perolehi ketika tempoh berkempen pada PRU13”.

“Lagipun, beliau berada di Kampung Bakar Batu atas jemputan YB Chen.”

Beliau berkata, Chen perlu menghormati jawatan sendiri selepas lebih 4 tahun berkhidmat kepada rakyat.

“Rasa hormat dan dihargai daripada penduduk kampung sebagai pengundi sepatutnya lebih daripada cukup untuk membuatkan YB Lim merasa dialu-alukan di kampung itu,” kata pengerusi Felda itu.

Lim hari ini menggesa Shahrir menyatakan pendirian dan penjelasan berhubung insiden itu.

“Saya kenal Shahrir sebagai salah seorang pemimpin Umno yang lebih komited kepada prinsip dan amalan demokrasi berparlimen, dan saya akan terkejut jika beliau sudah berubah menjadi dalang atau bersetuju dengan apa yang berlaku di Kg Bakar Batu malam tadi.”

Chen pula dalam satu kenyataan hari ini berkata, Umno dan penyokongnya patut mengamalkan politik matang dan berhenti menakut-nakutkan orang yang mahu menemui pemimpin mereka.

“Tidak kira BN atau Pakatan Harapan, kami berhak mengadakan program kami dan berhubung dengan rakyat. Biar rakyat tentukan siapa yang mereka mahu pilih pada pilihan raya umum ke-14.

“Apa yang dilakukan Umno malam tadi ialah memberi tekanan politik kepada pemilik warung untuk menghentikan program kami dan membawa penyokongnya untuk membuat kecoh dalam majlis kami.”– FMT