Dihalau penduduk: Malaysia ketinggalan amal demokrasi berparlimen kata Kit Siang

 |Feb 12, 2018
Foto: Facebook Andrew Chen Kah Eng

PETALING JAYA: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan insiden dihalau penduduk Kampung Bakar Batu di Johor Bahru pada malam Sabtu lalu menunjukkan Malaysia masih ketinggalan dalam amalan demokrasi berparlimen

Menerusi catatannya di lama blog semalam, Ahli Parlimen Gelang Patah kesal dan terkejut dengan insiden itu serta meminta Tan Sri Shahrir Samad menyuarakan pendirian dan penjelasan berhubung kejadian yang berlaku di kawasan Parlimen diwakilinya sejak 1978.

“Jika ini berlaku 50 dan 60 tahun lepas, ia tidak mengejutkan. Ini menunjukkan hakikat Malaysia masih ketinggalan bukan sahaja di belakang negara barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah, tetapi juga negara Asia seperti Jepun, India, Korea Selatan, Taiwan, Filipina dan Indonesia dalam mengamalkan demokrasi berparlimen.

“Saya kenal Shahrir sebagai salah seorang pemimpin Umno yang komited kepada prinsip dan amalan demokrasi berparlimen, dan saya akan terkejut jika beliau sudah berubah menjadi dalang atau bersetuju dengan apa yang berlaku di Kg Bakar Batu,” katanya.

Pada Sabtu malam lalu, Ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Program Sembang Santai Warung di sebuah kedai makan Kampung Bakar Batu, Johor Bahru terpaksa dibatalkan selepas menerima bantahan daripada penduduk tempatan yang marah.

ADUN Stulang Andrew Chen Kah Eng mendakwa gangguan itu berpunca daripada UMNO dan Barisan Nasional yang tidak memberikan mereka ruang untuk bertemu rakyat.

Turut serta pada program tersebut Setiausaha HARAPAN Johor, Osman Sapian dari BERSATU dan Ketua Penerangan PKR Johor, Akmal Nasir.

Lim yang pertama kali tampil ke Kampung Bakar Batu itu mendakwa negara masih jauh daripada amalan politik bebas.

“Kita masih ketinggalan untuk melihat di mana orang ramai boleh mengubah kerajaan melalui peti undi tanpa mana-mana amaran atau tidak memainkan sentimen perkauman,” katanya yang sudah lima dekad menjadi ahli politik.

Penasihat DAP itu turut menafikan beliau pernah menuduh UMNO atau mana-mana presiden UMNO dan perdana menteri sebagai anti kaum atau agama lain.

“Kenapa? Ini kerana sebagai pemimpin politik, kita perlu menjadi contoh untuk berusaha menjadi wakil rakyat kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

“Itu sebabnya saya boleh bekerjasama dengan 3 bekas perdana menteri selepas persaraan mereka, iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad di mana tempoh mereka menjadi perdana menteri selama 40 daripada 60 tahun sejarah negara.

“Saya mungkin mempunyai perbezaan politik dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn and Tun Dr Mahathir Mohamad apabila mereka menjadi perdana menteri, tetapi saya tidak pernah menuduh mereka anti-Cina, anti-India, anti-Kristian, anti-Buddha, anti-Hindu atau anti-Sik, kerana pemimpin politik sama ada dari kerajaan atau pembangkang perlu menjadi pemimpin semua rakyat Malaysia!,” katanya.

Sementara itu, beliau mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi individu yang paling banyak menyebarkan berita palsu, di sebalik dakwaannya menyatakan pihak pembangkang yang menyebarkan berita berbentuk itu.

“Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyatakan bahawa Najib adalah seorang budiman.

“Sekiranya benar, mengapa Najib masih lagi menyampaikan maklumat dan berita palsu, dengan mendakwa DAP adalah parti politik anti Islam dan Melayu.

“Jadi sekiranya perkara ini tidak betul, adakah Najib akan didakwa ketika masih menjadi Perdana Menteri kerana menyebarkan palsu?,” soalnya.