Raih sokongan politik: Tun M didakwa ketuai delegasi Pakatan Harapan ke AS

 |Feb 9, 2018
Bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. Foto: Azrol Ali

PETALING JAYA: Calon perdana menteri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir
Mohamad didakwa akan mengetuai delegasi parti pembangkang ke Amerika
Syarikat bagi mendapatkan sokongan politik di negara berkenaan.

Bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, berita
mengenai delegasi Pakatan Harapan (PH) ke Amerika Syarikat ini sudah
menjadi bualan orang ramai sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan
rasa khuatir dan bimbang sekiranya ia benar-benar berlaku.

Menurutnya, delegasi yang turut disertai Timbalan Presiden PH Tan Sri
Muhyiddin Yassin itu dikatakan akan berlepas ke Amerika Syarikat pada 20
Febuari ini.

“Saya berharap semua perkara ini tidak benar dan hanya khabar angin.
Sekiranya perkara ini benar berlaku, ini adalah penyesalan dan kita tidak
memerlukan pihak luar untuk campur tangan dalam urusan negara.

“Mengajak orang luar untuk campur tangan dalam urusan dalam negara adalah
bahaya dan tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di sini,
hari ini.

Beliau mendakwa delegasi Dr Mahathir ke Amerika Syarikat adalah untuk
mendapatkan sokongan bagi mengulingkan pemerintahan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak dan mahukan sokongan untuknya menjadi Perdana Menteri
kembali.

Tunku Aziz bagaimana pun tidak mendedahkan individu politik yang bakal
bertemu dengan delegasi Dr Mahathir di Amerika Syarikat.

Beliau turut bimbang perkara berkenaan bakal berlaku susulan Januari lalu,
Satu delegasi dari Kesatuan Eropah (EU) mengadakan mesyuarat selama dua
jam dengan Dr Mahathir dan kepimpinan Pakatan Harapan.

“Sebagai bekas Perdana Menteri yang memimpin negara yang bebas dan tiada
campur tangan luar selama 22 tahun, tindakan beliau (Dr Mahathir) itu
boleh dikatakan sebagai pengkhianatan dan amatlah dikesali.

“Ingin saya ingatkan beliau bahawa adalah hak kita untuk wujud sebagai
negara berdaulat dan bebas,” katanya.

Tegasnya, rakyat akan menentukan sama ada beliau layak menjadi perdana
menteri kembali atau sebaliknya dan bukan terletak di tangan Amerika
Syarikat.