MYCC cadang kenakan penalti terhadap tujuh pusat tuisyen dan penjagaan

 |Feb 9, 2018

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengemukakan cadangan untuk mengenakan penalti kewangan terhadap tujuh pusat tuisyen dan pusat penjagaan harian di kawasan SS19, Subang Jaya.

Penalti berjumlah RM33,068.85 dikenakan kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (AP 2010) apabila mereka dengan secara kolektif bersetuju untuk menetapkan dan menyelaraskan​​​​​​ yuran bagi​​​​​​kedua-dua perkhidmatan di kawasan tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, MyCC berkata perjanjian untuk menetapkan yuran itu telah dimeterai pada Mei 2017 dan sehubungan itu satu notis telah dikeluarkan oleh pihak tersebut bagi memaklumkan keputusan itu.

Menurut MyCC, suruhanjaya telah mengambil kira fakta dan perihal kes serta peruntukan yang berkaitan​​​​​​ di dalam akta dan garis panduan suruhanjaya tersebut mengenai penalti kewangan.

“Keputusan sementara ini juga memerlukan pihak terbabit untuk segera berhenti dan menghentikan kegiatan penetapan harga dan menolak perjanjian penetapan hargadengan serta-merta.

“Mereka juga dikehendaki untuk mendaftar dan melengkapkan kursus e-Pembelajaran mengenai pematuhan persaingan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam tempoh satu bulan dari keputusan cadangan dikeluarkan,” katanya.

MyCC telah memberikan keputusan terperinci termasuk dengan sebab-sebabnya seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 36 AP 2010 untuk membolehkan kesemua tujuh pusat tuisyen dan penjagaan harian diberi peluang untuk memberi maklum balas sewajarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Abu Samah Shabudin berkata penetapan harga adalah dianggap sebagai pelanggaran yang amat serius di bawah AP 2010, suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap semua perusahaan sama ada kecil atau besar yang didapati terlibat di dalam amalan antipersaingan berkenaan.

“Ini diharap akan memberi mesej yang jelas dan menghindar perusahaan-perusahaan lain daripada melakukan pelanggaran yang sama,” katanya.- Bernama