TPM beri bayangan PRU-14

 |Feb 8, 2018
Foto: Twitter KDN

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi bayangan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 dengan memaklumkan urusan kerja Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjadi lebih sibuk pada April ini.

Bagaimana pun, beliau tidak menyebut secara terperinci mengenai maksud ucapannya semasa himpunan bulanan KDN di Putrajaya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perhimpunan bulanan KDN akan dijalankan seperti biasa setiap bulan tetapi menjangkakan akan mula sibuk pada Mac dan akan lebih sibuk lagi pada April.

“KDN akan mengadakan himpunan setiap bulan, bulan Mac mungkin lebih sibuk dan bulan April mungkin lebih sibuk sedikit lagi,” katanya yang dipetik dari MalaysiaGazette.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memberi bayangan mengenai tarikh PRU-14 yang dikatakan bakal diadakan sebelum 14 Julai ini.

Tempoh mandat Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional akan berakhir 24 Jun 2018.