Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin kembali bertanding di Arau

 |Feb 8, 2018

KANGAR: Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin akan kembali bertanding Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Arau selepas kali terakhir bertanding pada 2008.

Ini sekaligus menyaksikan pertembungan dengan Datuk Seri Shahidan Kasim yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis.

Situasi ini akan berlaku sekiranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mahu terus mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada pilihan raya nanti.

Berita Harian melaporkan, pemilihan Hashim di kerusi berkenaan dimaklumkan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Shukri Ramli.

Kali terakhir Hashim bertanding dalam pilihan raya adalah pada PRU-12 iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.

Beliau berjaya menewaskan calon BN, Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.

Pemilihan Hashim dilihat bertepatan apabila pernah memenangi kerusi Parlimen Arau pada pilihan raya kecil (PRK) 1998 selepas menewaskan calon BN, Datuk Ismail Kassim dengan majoriti sebanyak 1,323.

Parlimen Arau merupakan kawasan tradisi di negeri ini yang sentiasa menjadi tumpuan khususnya ketika bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din bertanding di kerusi tersebut pada 2004, 2008 dan pilihan raya lalu.

Pada PRU-14 kali ini, sejarah baru bakal tercipta di kawasan Parlimen Arau apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut akan meletakkan calon bagi mewakili Pakatan Harapan diketuai DAP, yang sekali gus akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru di kerusi yang hanya sinonim antara Pas dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.