Bantah AGM PPBM: RoS mula siasatan kata Zahid

 |Feb 8, 2018
Gambar fail MO.

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah memulakan siasatan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia susulan beberapa bantahan ahlinya terhadap status Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan pada 30 Disember tahun lalu.

Menurutnya, RoS diminta untuk meningkatkan siasatan susulan memerlukan penelitian dokumen yang berkaitan.

“Kita telah meminta ROS bukan sekadar memulakan siasatan tetapi dapat mempertingkatkan siasatan dan penuhi aduan-aduan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas gesaan anggota-anggota PPBM yang mahu ROS mempercepatkan siasatan dan mengambil tindakan kerana mereka mendakwa AGM pada Disember lepas tidak sah dan melanggar peraturan perlembagaan parti.

Beliau sebelum ini menafikan dakwaan kononnya RoS sengaja melewatkan status mesyuarat agung tahunan (AGM) parti yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.

RoS sebelum ini dilaporkan menerima 249 aduan yang telah dikemukan ahli-ahli PPBM dan setakat ini 47 aduan daripadanya mempunyai percanggahan dengan perlembangaan parti berkenaan dan peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya.

Semalam, bekas exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) PPBM Pusat Mohamad Taufik Abas berkata 1,999 anggota parti itu akan berhimpun di Ibu Pejabat ROS sebagai tanda protes sekiranya masih tiada sebarang tindakan diambil terhadap parti itu dalam tempoh dua minggu.

Pada sidang media itu, Ahmad Zahid membidas turut dakwaan Pakatan Harapan bahawa penggubalan undang-undang baru bagi mengekang berita palsu adalah untuk menutup kebenaran.

“Penggubalan undang-undang baru tidak sama sekali untuk menutup sebarang kebenaran,”tegasnya.

“Semasa Pilihan Raya Umum Ke-13, dakwaan tentang 40,000 rakyat Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia bukankah berita palsu? Itukah ‘kebenaran’ yang mereka mahu paparkan lagi?

“Berita palsu akan ada dalam strategi kempen saat-aat akhir, itu saya pasti,” katanya semasa mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta supaya undang-undang itu tidak digunakan untuk menutup kebenaran.