Usaha jejak bekas suami Indira tidak pernah berhenti – Polis

 |Feb 7, 2018
Foto: Facebook Polis Diraja Malaysia

PETALING JAYA: Pengarah jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd menegaskan usaha untuk mencari bekas suami M.Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah dan anak bongsunya tidak pernah terhenti.

Menurutnya, pelbagai langkah dijalankan bagi mengesan Riduan sejak diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh empat tahun lalu termasuk meminta bantuan orang ramai mengesan kedua-dua beranak itu.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terus menerus memainkan isu ini dengan apa jua cara yang boleh mewujudkan ketegangan di dalam kalangan masyarakat majmuk dalam negara ini.

“Sekali lagi pihak polis merayu anggota masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat mengenai bekas suami dan anak M Indira Gandhi untuk tampil memberikan kerjasama mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis hari ini buat pertama kali mengedarkan gambar Muhammad Riduan dan mengulangi gesaan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun supaya orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kes sensitif itu agar tidak menjejaskan ketenteraman awam.

Mohamad Fuzi sebelum ini memaklumkan Riduan yang juga dikenali sebagi K. Pathmanathan masih berada di dalam negara selepas membuat semakan dengan Jabatan Imigresen.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Ketiga-tiga anak mereka iaitu dua perempuan dan seorang lelaki kini berusia 20, 19, dan sembilan tahun. Muhammad Riduan, 47, telah menukar agama anak-anak mereka kepada Islam pada April 2009 tanpa persetujuan Indira Gandhi selepas dia memeluk Islam.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya Prasana Diksa kepada bekas isterinya.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi Indira Gandhi hak penjagaan sepenuhnya terhadap ketiga-tiga anaknya dan memerintahkan Muhammad Ridhuan menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.