Milo sihat dan kandungan gula 6 peratus sahaja kata Nestle Malaysia

 |Feb 7, 2018

PETALING JAYA: Nestle Malaysia menafikan dakwaan produk keluaran syarikatnya, Milo mengandungi kandungan gula yang tinggi seperti yang ditularkan dalam media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Halal syarikat Othman Md Yusoff menjelaskan pada bungkusan Milo itu memang tertulis gula sebanyak 40 peratus iaitu 20 peratus daripadanya ialah daripada susu, laktosa dan malt.

“Susu yang ada merupakan susu yang mempunyai gula semula jadi dan baik untuk badan. Lagi 20 peratus itu gula dan ia dalam bentuk serbuk.

“Selepas lima sudu teh Milo ditambah dengan 200 mililiter air panas, jumlah gula kemudian menjadi enam peratus sahaja iaitu tiga peratus daripada susu tadi dan tiga peratus lagi gula.

“(Kadar) 40 peratus itu bila tidak dicampur air. Jadi sebenarnya hanya enam peratus gula sahaja yang masuk ke badan,” katanya jika pengguna mengambil minuman itu mengikut cadangan hidangan, kandungan gula hanya sekitar 6%.

Beliau berkata sekiranya pengguna menyediakan minuman itu mengikut sukatan dicadangkan pada bungkusan Milo iaitu 5 sudu dicampur dengan 200ml air, minuman berkenaan tidak akan mengandungi kadar gula berlebihan.

Masalah timbul apabila pengguna tidak mengikut cadangan sukatan hidangan dengan menambah gula atau susu pekat dalam minuman itu, katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video seorang aktivis media sosial baru-baru ini mendakwa kononnya produk Milo mengandungi kadar gula terlalu tinggi iaitu sebanyak 40% bagi setiap hidangan.

Sebuah video milik aktivis Vishen Lakhiani menjadi viral selepas beliau mengkritik syarikat makanan dan minuman yang didakwa mengeluarkan produk sehingga menyebabkan kegemukan di Malaysia.

Memetik artikel New York Times, Vishen berkata Malaysia menjadi negara yang mempunyai paling ramai orang gemuk di Asia.

Kegemukan itu terjadi apabila pihak kerajaan mengambil duit daripada syarikat makanan untuk menjadi penasihat nutrisi serta membenarkan makanan ‘tidak sihat’ dijual berleluasa, kata Vishen.

Beliau turut mempersoalkan minuman Milo yang sering menggunakan cogan kata ‘sihat dan kuat’ mengandungi kandungan gula sehingga 40 peratus bagi setiap 100 gram hidangan.

Video itu kemudian menjadi tular dengan lebih sejuta tontonan dan komen.

Dalam video berkenaan, Vishen turut mengkritik produk-produk keluaran Nestle yang lain.