Jakim: Hormati Tahun Baru Cina guna haiwan sebagai perlambangan

 |Feb 7, 2018

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan sikap kebersamaan dan saling menghormati sempena sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha berkata, merujuk kepada konsep fiqh ta’ayush (kebersamaan), walaupun Tahun Baru Cina menggunakan haiwan sebagai perlambangan, semua pihak perlu menghormati perkara ini dan sentiasa mengekalkan keharmonian antara kaum.

“Ini selaras dengan pendekatan wasatiyyah dalam Islam yang telah menjadi dasar Kerajaan.

“Justeru, semangat kebersamaan dalam perkara ini perlu difahami secara bijaksana dan berhikmah oleh semua pihak demi mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya kenyataan di Facebook.

Kalendar lunar Cina mempunyai 12 simbol haiwan termasuk anjing dan babi, di mana setiap satu akan ditetapkan pada tahun-tahun tertentu dalam kitaran 12 tahun. Tahun Cina kali ini, yang permulaannya akan dirai pada 16 Februari ini, merupakan tahun anjing.

Bagaimana pun, kenyataan itu tidak menjelaskan secara terperinci sama ada imej anjing itu sesuai digunakan atau tidak

Sebelum ini, beberapa kompleks membeli-belah tidak menggunakan imej anjing dalam dekorasi Tahun Baru Cina mereka atas alasan menjaga sensitiviti umat Islam.

Awal Januari lalu, sebuah rangkaian pasar raya utama sebelum ini menarik perhatian ramai apabila menjual baju zodiak Cina tanpa gambar anjing dan babi.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kerajaan tiada masalah dengan pemaparan imej anjing sebagai hiasan di pusat membeli belah sempena Tahun Baru Cina.