CCM bidas kenyataan Hadi mengenai sistem kasta dalam Kristian

 |Feb 7, 2018

PETALING JAYA: Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM) membidas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengatakan agama Kristian mengamalkan “kasta.

Setiausaha Agung Hermen Shastri berkata kenyataan Hadi itu memberikan gambaran yang sangat salah.

Beliau berkata “kasta” bukan sebahagian doktrin dan amalan Kristian dan agamawan tidak dianggap suci dan boleh ditegur.

“Paderi terpanggil untuk melaksanakan tugas-tugas suci demi orang beriman dan menjalani kehidupan mulia.

“Kalau paderi menjadi pemimpin politik, mereka tidak boleh melaksakan tugas-tugas agama mereka,” katanya kepada FMT.

Kumpulan itu tersinggung dengan kenyataan terbaharu Hadi, seperti yang dilaporkan Harakah Daily, di mana beliau berkata Islam menghapuskan kasta tetapi agama lain seperti Hindu dan Kristian mempunyai kasta, seperti paderi yang dianggap suci.

Shastri menggesa Hadi menarik balik kata-kata itu yang dirasakan tidak wajar dan taksub.

Beliau berkata kenyataan itu jika dibiarkan boleh menyinggung perasaan orang Kristian dan memberi kesan pada hubungan harmoni antara agama.

Hindu Sangam Malaysia (MHS) juga menggesa Hadi tidak membangkitkan isu seperti itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan.

Presiden MHS RS Mohan Shan berkata walaupun apa yang Hadi katakan tentang sistem kasta dalam Hinduisme itu betul, ia tidak lagi diamalkan di Malaysia dan India.

“Keperluan yang menetapkan para sami perlulah daripada golongan tertinggi dalam sistem kasta tidak lagi berlaku hari ini.

“Sekarang, sesiapa sahaja yang belajar Hinduisme boleh menjadi seorang sami di kuil.

“Saya menasihatkan Hadi untuk tidak berbuat begitu. Mengapa dia mahu kelirukan masyarakat Hindu di negara ini?” katanya, dan menambah kenyataan itu tidak baik dikeluarkan dalam sebuah negara majmuk seperti di Malaysia.

Beliau berkata PAS bebas melakukan apa sahaja yang ia mahu, tetapi parti Islamis itu tidak patut menjadikan sistem kasta satu isu.

“Kami mungkin tidak berasa jengkel dengan kata-kata itu, tetapi kita tidak tahu pandangan orang lain,” katanya.

Semalam, Hadi mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan laporan yang mmetik beliau sebagai berkata kerajaan PAS akan melaksanakan sistem 2 kabinet, yang tidak akan melibatkan orang bukan Islam sebagai pembuat dasar.

Hadi berkata usul itu bukan cubaan memperkenalkan sistem kasta agama, yang beliau dakwa berlaku dalam kalangan orang Hindu dan Kristian.-FMT