Jakim: Kita tak ukur Islam ikut ajaran Pas kata Tun M

 |Feb 6, 2018
Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto: Azrol Ali

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Tengku Razaleigh Hamzah mengenai penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dijadikan alat untuk mengurangkan pengaruh PAS ke atas umat Islam.

Beliau menjelaskan, penubuhan Jakim ketika zaman pemerintahannya adalah bertujuan mendekatkan kerajaan kepada ajaran Islam.

“Kita tidak ukur Islam mengikut ajaran Pas tetapi mengukur Islam mengikut ajaran Islam.

“Jadi kita buat (Jakim) bukan kerana Pas, kita buat kerana mahu dekatkan kerajaan dengan ajaran Islam supaya apa yang kita lakukan (dalam pentadbiran) tidak bercanggah dengan Islam,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Beliau ketika ditanya sama ada akan mengekalkan Jakim sekiranya Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Umum Ke -14, bekas perdana menteri itu menjawab tiada perkara yang kekal dan terpulang kepada pempinan empat parti komponen dalam PH.

Tengku Razaleigh dalam satu temubual mendakwa Jakim tidak sah dari segi Perlembagaan Persekutuan dan penubuhannya sebagai salah satu usaha UMNO untuk bersaing dengan PAS dalam soal Islam.

Ku Li yang berkhidmat sebagai menteri kewangan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri, Tun Razak Hussein dan Dr Mahathir, berkata Jakim dibentuk sebagai sebahagian dasar penerapan nilai Islam yang dimulakan Dr Mahathir selepas menerajui kerajaan pada 1981.

Jakim diumumkan secara rasmi pada 1997, dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Antara lain, ia turut menguruskan pensijilan halal, industri yang dipercayai bernilai berbilion dolar.