SKMM, PDRM siasat video warga asing diberi kad pengenalan

 |Feb 2, 2018

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia kini sedang meneliti serta menyiasat video palsu warga asing diberi kad pengenalan yang mula tersebar kembali di media sosial baru-baru ini.

Video berdurasi 2:38 minit itu dipercayai sebuah video lama yang mula tular sejak 23 Januari lalu.

Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Dr Mazlan Ismail memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai penyebaran video tersebut dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenalpasti individu yang menyebarkannya dengan bantuan polis.

“SKMM memandang serius perkara ini dan mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Adalah menjadi satu kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi seseorang membuat dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi, menyebar, memuat naik, mahupun mempercayai sebarang bentuk kandungan yang belum ditentukan kesahihannya.